Monday, October 18, 2010

Tengah Hari yang Blues

Burung-burung berkicauan.Semut di tanah bersahut-sahutan.Cuaca cerah.

Di sebuah kedai mamak,kelihatan seorang pemuda yang bersinar-sinar mukanya.Siapa lagi kalau bukan aku.Sambil berdiri tegak,aku memegang sepinggan nasi.Lauk diceduk.Kuah disiram.Ambil papedom 3 keping.Lengkap.Setel.

Badan kena tegak-tegak.Baru sedap dipandang mata.Bila orang dah sedap pandang,orang akan gembira.Bila orang gembira,rasanya kita boleh pahala kan?

Gila.Bijak betul rancang strategi mengumpul pahala.Pintar macam brader MLM.

Setelah selesai upacara mengambil lauk secara solo,aku berpusing ke belakang.Kelihatan rakan sekerja tengah lepak atas meja bersama nasi masing-masing.Comel.Kelihatan macam waktu makan bekal zaman sekolah rendah dulu.

Untuk sampai ke meja membe aku,aku perlu melalui satu meja yang ada awek-awek.Jadi,semestinya perkara wajib adalah kontrol hensem.Ketika menghampiri meja awek-awek tadi,tiba-tiba kelihatan seorang macha bermuka cemas dengan kelam kelibut melintasi aku.Tangannya penuh dengan gelas air.

Macha tadi letak kesemua air yang dibawanya tadi di atas meja awek-awek tadi.Sebagai lelaki yang super gentleman,aku memberikan ruang kepadanya.Aku dengan tabah dan sabar menunggu di belakang macha tadi.Aku tunggu agak jauh la.Kira-kira semeter.Gila apa nak tunggu dekat-dekat.Aku straight.

Setelah selesai mengesahkan penghantaran air di meja yang betul,brader macha tadi bergerak ke belakang sedikit.Bersedia untuk menuju ke dapur semula.Badannya mengundur ke belakang,kemudian beliau berpusing laju-laju sambil meluru ke arah dapur.

Masalahnya di sini,dapur kedai tu ada kat belakang aku.

Tak dapat mengelak.

Terlambat.







"PELEPAPPP!"

Kami berdua berdakapan dengan mesra,erat dan penuh kasih sayang sambil diiringi gelak tawa awek-awek comel tadi.


Yenaddeyyy !!! Ammapaaaa!!!

Friday, October 15, 2010

Mamak

Takda pilihan.Dem.

Tiap-tiap hari pekena mamak.
Harap-harap,badan aku tak bau mamak.






Ish...apa ni.Jangan la hidu-hidu.

Tak manis dipandang tau.

Jamil,Stesen Minyak Petronas dan Stafnya.

Mata dah rabak walaupun baru sampai kawasan Bukit Merah.KL jauh lagi.Silap jugak aku tak tido cukup-cukup kat rumah.Nak tido cukup macam mana,sibuk sungguh bila balik kampung.Nak bermanja dengan Mak lagi,bapak lagi,kucing lagi.Tak ketinggalan juga awek-awek cun di kampung.

Yummy...grrr..

Disebabkan mata dah tak boleh blah,aku bagi signal.Masuk RnR Gunung Semanggol.Aku terus menuju ke stesen minyak Petronas.Pintu dibuka.Tak semena-mena,terdapat sekumpulan gadis cantik seksi menyerbu aku untuk bergambar.Macam aku cakap dulu-dulu,macam ni la dilema jadi orang hensem dan kacak.Nak bergerak dengan aman pun susah.Kini aku mengerti perasaan Brad Pitt.Humm..aku bersimpati kepada mereka yang tak pernah merasai suasana seperti ini.

Selepas melayan kerenah gadis-gadis yang tak berapa nak matang tadi,aku menuju ke dalam kedai Petronas.Jalan laju-laju menuju ke peti ais.Bapak banyak jenis air nak pilih.Rambang mata sekejap.Dah setel pilih,aku akhirnya ambil air Sprite.Selain tu,aku beli coklat dua tiga bar,keropok sket.

Aku menuju ke arah kaunter.

Bladi hell....kelihatan seorang awek yang super seksi sedang menjaga kaunter.Pakaian seragam Petronas dah dicuttingnya macam kebaya.Seksi sungguh.Senyuman dia? Jangan cakap la.Amik Lisa Surihani..kemudian darabkan dengan 1000 kali pun belum tentu boleh celen.(Ok..aku tipu,senyuman Lisa Surihani lagi cantik.)Jantung aku dah gugur ke mana.Badan perfect macam gitar orang kata.Lekuk dan kembung badan dia memang perfect lah.Pinggang ramping habis.Muka dah tahap boleh tengok sampai gugur kelopak mata.Bukan setakat kelopak mata,nescaya pahala-pahala juga boleh gugur.

Mata aku dah kejang.

Pembayaran dilakukan dengan penuh tabah.Selesai.

Aku masuk ke dalam kereta,kemudian pemanduan diteruskan ke KL.Mata segar bugar tanpa mengantuk dari RnR Gunung Semanggol sehingga ke Puncak Jalil.Tak mengantuk langsung.

Hebat.











Power betul air Sprite dengan coklat yang aku beli tu.

Thursday, October 14, 2010

PS,Kriss Evo,Hati Waja dan Bunga Goyang

PS:"Jamil....Kenapa you dah kurang cerita pasal I dalam blog you sekarang?"
Bunga Goyang:"Ha'ah..aku pun perasan.Pasal aku pun dah takda cerita.Kami berdua ni membosankan ke Jamil?"
Hati Waja:"Betul tu.Pasal aku pun dah takda dah sekarang.Kenapa Jamil?"
Kriss Evo:"Asyik korang ja.Aku lagi la lama takda cerita.Geram jugak ni."

PS,Kriss Evo,Hati Waja dan Bunga Goyang:"Jawablah!!!!" jerit mereka serentak.Geram.









Aku:"PS,weekend ni kita pergi major service.Kriss Evo pun,kita pergi servis jugak enjin tu.Bagi cun.Hati Waja,malam ni kita baca yassin.Bunga goyang,besok aku belikan pasangan untuk ko.Steady semua?"

PS,Kriss Evo,Hati Waja dan Bunga Goyang:"Horreyyyyyy !!!! Jamil memang hensem." balas mereka serentak.Gembira.










Senang sungguh nak alih perhatian.


Tuesday, October 12, 2010

10/10/10

Ramai yang ada versi sendiri.

Sheikh Muzaffar contohnya,kahwin 10/10/10 dan mahu anak 10.

Aku?

Hehe..aku ada kenangan 10/10/10 yang tersendiri.Sangat manis.Sangat berdebar.Sangat happening.Sangat santai.Sangat releks.Sangat tenang.

Terima kasih untuk trip yang indah.

Terima kasih untuk yang terlibat.

Mampu buat aku tersenyum.





Apa? Aku hilang teruna? Nak kena penampar?

(Oh...bilangan follower dah jadi macam buku hutang 555.Hahaha... =p )

Friday, October 8, 2010

Selamat berhujung minggu.

Aku balik kampung dulu.

Ta ta...

Muah muah!




xoxoxoxoxoxoxoxo!


(Ah..dah pandai xoxo dah sekarang ni.Barai.)

Wednesday, October 6, 2010

Dialog Suami Isteri 23

"Oooo...jadinya,yang mudah jatuh dalam rakaman semalam tu,sebab nak ambil sepakan penalti lah ye?" soal si emak mertua kepada si suami sambil melipat selonggok baju di depan TV.
"Ye mak.Kalau jatuh dalam kotak penalti tu,boleh dapat sepakan penalti.Main bola ni kena bijak mak.Kalau dapat tipu pengadil,dah kira bonus." balas si suami bersungguh-sungguh.

"Oooo..ayang pun tak tahu bang.Patut la mudah sangat nampaknya abang jatuh.Ada helah rupanya.Bijak suami ayang ni rupanya.Hik hik hik..." ujar si isteri pula.Juga menolong emaknya melipat baju.
"Well..abang kan bijak.hehehe..." si suami mula bangga.

"Tapi....kan menipu tu haram hukumnya.Gol tu kira sah ke tak sah?" soal si emak mertua dengan tenang sambil melipat kain baju.







Si isteri terus tersilap melipat baju hingga menjadi bentuk rama-rama.

Si suami gigit bantal sofa sekali lagi.

Tuesday, October 5, 2010

Dialog Suami Isteri 22

"Mak...mak...datang la sini.Nanti la basuh pinggan tu.Kita basuh sekali nanti.Mari tgk abang kat TV ni.Bukan orang lain.Menantu mak jugak." panggil si isteri di atas sofa kepada emaknya.
"Kejap..kejap...mak datang." bebel si emak sambil berlenggang ke ruang tamu.

"Ha..mananya.Dah mula ke belum?" soal si emak sambil duduk di tepi sofa.
"Dah mula tadi mak.Ni rakaman perlawanan yang abang main minggu lepas.Yang menang tu.Ha..tengok tu,tu abang yang kat tepi padang tu." balas si isteri dengan penuh 'eksaited'.

"Segak kan mak kan?" soal si isteri.Si suami di sebelah hanya tersenyum.Bangga dipuji.
"Ya,memang segak." balas si emak sambil menonton.

"Mak nak tau? Bola sepak ni,orang yang gagah ja boleh main.Kalau tak gagah,memang tak layak." bebel si isteri.
"Ya...mak tau." balas si emak.Melayan.Si suami di sebelah sambung tersenyum.

"Ha...tengok,abang dah dapat bola." si isteri 'eksaited' lagi.

Di dalam TV,kelihatan si suami dengan pantas membawa bola.Berlari dan menggelecek lawan dengan tangkas.Namun,tiba-tiba ada seorang pemain pihak lawan yang meluru laju ke arahnya.Si suami dengan penuh licik dan pintar,terus merebahkan badan di dalam kotak penalti apabila disentuh oleh pemain dari pihak lawan tadi.Wisel ditiupkan.Sepakan penalti diberikan.Lakonannya nampak menjadi.

Si suami di sebelah tersenyum riang memikirkan betapa bijaknya dia mengambil peluang dalam permainan tersebut.Tahap pintar lakonannya ketika dalam permainan dah sama tahap dengan Christiano Ronaldo.Mesti isteri dan mak mertuanya akan puji sebentar lagi.

Tak sia-sia dia bawak balik CD rakaman permainan minggu lepas.

"Gagah apanya.Kena cuit sikit dah berguling-guling.Baik mak sambung basuh pinggan." balas si emak sambil berlalu ke dapur.

"Kenapa abang mudah sangat jatuh?" soal si isteri dengan muka tak puas hati.














Si suami gigit bantal sofa.


Monday, October 4, 2010

Menggedik


" Uol's ingat I tak sedih ke dah lama I tak sempat reply komen uol's?..I sedih taww... "





Meremang bulu roma.

Sunday, October 3, 2010

Siri Spoof Versi Pendek - 1

"Jauh lagi kah tuan hamba?" soal Pendekar Pertama.
"Tidak jauh lagi.Di puncak bukit tu.Sekejap lagi sampai lah." balas pendekar kedua.
"Jauh jugak rupanya nak berguru dengan pendekar yang terbilang ni." tambah pendekar ketiga pula.

"Macam mana lah dia boleh duduk sorang-sorang atas bukit ni." Pendekar pertama berasa hairan.
"Pendekar ini bukan sebarangan.Sepanjang dia menetap di sini,dengarnya,dia hanya makan bertih jagung dan beras sahaja.Banyak masanya dihabiskan untuk bertapa." terang pendekar kedua.
"Hebatnya.Betul ke cerita ni?" Pendekar Ketiga menyoal.


"Ha'ah.Betul ke ni?" pendekar Pertama menyoal.
"Iyeee.....betul la.Takkan aku nak tipu." balas Pendekar Kedua.
"Dah dah...jangan nak bertekak.Kita da sampai dah depan pintu gua ni." ujar pendekar Ketiga.

"Eh..apahal sunyi ja." Pendekar Pertama memulakan bicara.
"Ha'ah.Eh....Tu macam ada tulisan nota kat pintu tu.Kau pergi baca sekejap.Aku tak pandai." arah Pendekar kedua kepada Pendekar Ketiga.
"Ye lah ye lah.Jap aku pegi amik." balas pendekar Ketiga.






"Melalui firasat atuk....Atuk tahu cucu semua sedang dalam perjalanan naik ke sini.Tunggu sebentar.Atuk pergi 7E sekejap.Beli roti Butterscotch.Nak pergi mesin ATM lagi.Beli topup lagi.Jangan pergi ke mana-mana.Sekejap lagi atuk sampai......love...muah! xoxoxoxo! " ringkas ,ramah dan sedikit nakal bunyi nota yang tersemat di pintu gua.








"Bertih jagung kepala lutut!!!" jerit pendekar pertama dan ketiga serentak.

Pendekar Kedua buat-buat sibuk makan bekal.

Comel.

Friday, October 1, 2010

Blues Hari Jumaat

Hari jumaat paling aku suka.

Kenapa?

Sebab hari akhir bekerja. Hik hik hik...

Apa aku buat setiap petang jumaat? Ok..meh aku nak cerita.

Ehem...kejap lagi,jam 5.30 petang aku balik kerja.Dalam pukul 6 petang,aku da sampai kat kawasan PUJ 1.Depan lot kedai kat bawah tu selalu ada pasar malam setiap jumaat.

Ok,kat pasar malam ni,ada sorang brader yang jual roti bom.Seketul rm1.Memang sedap.Jadi,aku mesti akan beli dalam 3 - 4 ketul.Dah beli,aku pegi beli air pulak.Air yang aku suka beli,samada jagung atau perisa keladi.(Ok..masa taip ni air liur dah berjurai keluar.)

Lepas beli air,aku singgah pulak kat ayam percik.(DEMM..air liur semakin laju keluar)Ayam percik dia murah saja.Dalam rm2.50 rasanya.

Jadi,bila tiba di rumah,aku buka roti bom,lepas tu letak ayam percik kat sebelah.Cubit ayam percik sikit,letak kuah dia,cubit roti bom sikit,kemudian dengan ketepatan serta ketelitian tahap seorang pencuri kereta...aku akan cantumkan kedua-duanya dan terus masukkan ke dalam mulut.....dan.....kunyah.

(berguling-guling sedap.)

Langkah di atas akan diulang semula (kecuali berguling...penat lah) sambil menonton movie di dalam laptop.Ok,aku belum menonton movie Expandables.Semalam aku dah copy cerita tu kat membe aku.High Definition punya kualiti.Begitu juga dengan supernatural season baru.Tidak ketinggalan juga Iron Man 2 HD yang belum ditonton.

Omaigod omaigod omaigod...eksaited.(dah jadi Hanis Zalikha dah.)












Ok Jamil...bertabah.Tinggal hanya 3 jam lagi untuk pulang.

Update: Tergolek kekenyangan.

Lagi Random Hari Jumaat

Lepak-lepak,borak-borak sambil pekena keropok kat tebing rumput empangan presint 6 putrajaya di waktu petang bersama beberapa pembaca hapacrita pun...macam best jugak kan?


Thursday, September 30, 2010

Ayam Kampung 2

Aku duduk seperti biasa di pintu yang menghadap ke belakang rumah.Sambil lepak,aku tengok-tengok ke arah bukit belakang rumah yang dah kena tarah.Sedih.

Semakin kurang ahli kariah pokok dalam kampung aku nampaknya.Nasib baik populasi pokok rumput masih boleh diharap.

Nak harapkan populasi pokok strawberry...haram! Satu pun takda.

Sambil melepak,kelihatan segerombolan rombongan ayam melintas.Banyak jugak.Ada dalam berbelas ekor.Aku tak pasti pulak sama ada kumpulan ayam yang melintas depan aku ni geng MLM ayam atau cuma sekumpulan rakan sebaya ayam yang bersiar-siar menikmati keindahan kampung.

Biarkan.

Dalam kumpulan ayam tadi,macam biasa mesti ada sekor ayam jantan yang berkawal.Dia cuma memerhatikan ayam betina yang lain berkeliaran.Patut la brader yang kawal pelacur digelar bapak ayam.Memang dah sama dah peranan.Sebijik.Cuma bezanya,bapak ayam versi binatang jenis makan sorang.Bapak ayam versi manusia jenis menjual.

Lagipun,tak manis kalau bapak ayam versi binatang bertukar duit.Huduh jugak kalau dilihat.Celah mana dia nak simpan wallet.Celah kepak?

Sambil melihat gelagat ayam tadi,aku tersenyum memikirkan kejadian setahun lepas.

Aku dapat satu idea.


********** 30 saat kemudian **********


Di tangan aku ada sepinggan nasi putih panas lagi harum.

Aku genggam sekepal,dan terus lempar ke arah ayam tadi.Maka,tanpa membuang masa,ayam tadi menyerbu ke arah nasi tadi.Kelihatan ayam jantan dah tersengih-sengih.Sengih ada makna.Ayam betina dah dapat makan,maknanya dia pun akan dapat habuan.Licik jugak ayam jantan ni.

Sebagai syarat sosial kehidupan masyarakat ayam,ayam jantan tadi terus pergi buat kecoh di tengah-tengah kumpulan ayam betina yang sedang makan dengan isyarat "ini makanan aku,kalau nak makan,boleh,lepas makan..ehem....ehem".Begitulah isyaratnya selepas diterjemahkan ke dalam bahasa melayu.

Ehem-ehem apa? Ah...pikir la sendiri.Takkan ajak buat kek pandan pulak kan.

Aku genggam sekepal lagi,aku lempar jauh sikit dari tempat tadi.Ayam betina yang lain serbu ke situ pula.Ayam jantan kelihatan cemas sedikit.Tanpa buang masa,ayam jantan tadi menyerbu ke tempat kedua sambil buat isyarat yang sama.

Aku genggam sekepal lagi.Aku lempar pulak ke tempat ketiga.Baki ayam betina menyerbu ke tempat ketiga pula.Kini,ada 3 tempat berasingan yang ada nasi.Ayam jantan semakin huru-hara.Tanpa membuang masa lagi,ayam jantan tadi terus menuju ke tempat ketiga sambil membuat isyarat yang sama.

Aku genggam nasi lagi.Aku lempar ke tempat pertama,kedua dan ketiga bergilir-gilir.Ayam betina makan dengan penuh riang-ria.

Ayam jantan?









Macam Road Runner bekejar ke sana-sini i tell youuuu....

Hahhahahahahahahahahaahhahahahahahahaha!

semalam yang hangat 21

Semalam,aku pergi ke rumah membe aku kat keramat.Ala..kan ada apartment atas bukit kat Jalan Keramat Hujung tu.Aku pegi sana sebab ada hal sikit.

Jadi,lepas makan-makan,aku pun blah balik ke rumah.Nak dijadikan cerita,aku tertinggal cermin mata aku.Dah la semalam bladi hell punya lebat hujan turun kat KL.Rating pemanduan aku dari tahap Schumi terus jatuh ke tahap macam gadis-baru-dapat-lesen-L-yang-memandu-terkial-kial-tapi-ada-hati-nak-masuk-KL-time-sesak.

Elok sampai kat ######(jgn harap aku nak cerita tempat ni), aku terus belok masuk simpang kiri.

Demmit.

Aku masuk jalan yang salah.Rabun punya pasal.Kalau nak guna mata superman boleh,tapi aku takut nanti penat ja.Sebab nak aktifkan kuasa mata superman,pakai banyak tenaga jugak.Aku tak suka membazir tenaga.

Aku redah jalan tadi sambil cari jalan nak u-turn semula.

Tiba-tiba,aku sampai di sebatang jalan.Semua kereta berhenti.Lampu merah di hujung jalan rupanya.Di kiri dan kanan jalan tersebut,kelihatan amoi-amoi dari cina,berbaris,semuanya memegang payung dan berpakaian seksi habis.Di celah-celah amoi tadi,ada lelaki yang mengawal.Bapak ayam barangkali.

Bladi hell.

Aku berada di kawasan pelacuran.

Berdebar.








Lampu di hujung jalan bertukar hijau.Kereta bergerak perlahan-lahan.

Sebelum pulang,aku 'sesat lagi' kat jalan tadi sekali lagi sambil mengaktifkan kuasa mata superman pada tahap tertinggi.

Hahahahahahahahahaha!








Takpa,tenaga dalam badan boleh ditambah bila makan nasik esok.

Tuesday, September 28, 2010

Dialog Masyarakat Marhain 29

Entri ini dipadam sebab idea yang aku nak sampaikan kompliketed sikit.

Hahahaha...






Ini kan blog santai-santai.

Why sooo serious kan?

=p

Berdebar-debar


Dah 5 petang.Barathum sudah memanggil-manggil pulang.

Demmit!

Terlalu Sibuk Macam Superman Yang Suka Tukar Baju Dalam Pondok Telefon tu.

Betul.

Tak tipu ni.

Banyak kerja ni.

Dah lama otak aku tak merapu.Nanti aku mengarang semula ya.





Muah! Muah! Muah!

xoxoxoxoxoxo!

Sunday, September 26, 2010

Selamat Berhujung Minggu.


Oh Yeah!



Waddup?

Thursday, September 23, 2010

Wake Me Up When September Ends

"here comes the rain again
falling from the stars
drenched in my pain again
becoming who we are"





Tapi..bila subuh kena kejut jugak la.

Bilik Ilham

Aku memberikan penuh tumpuan.Benda-benda macam ni kena fokus.

Pintu bilik sebelah dibuka.Ada bunyi orang masuk.Kemudian ada bunyi buka seluar.kemudian...



PLUPPPPP !!!!!!





Lenguh bai tahan senyum.

Sakit pipi.

Perbezaan Ketara Kes Dulu dan Sekarang.

Dah dekat sebulan dah kes.

1.Takda pulak tuntutan suruhanjaya diraja untuk siasat kumpulan gengster paria ni.Siasat sampai akar umbi orang kata.Tengok sapa kepala paria tu sikit.
2.Takda pulak demonstrasi.Mana pi Hindraf ntah.Sunyi.Parti lain pun,NGO lain pun..pi mana? Kata juara sangat.
3.Takda pulak perarakan di jalan-jalan.
4.Takda pulak majlis peguam kecoh-kecoh nak amik tindakan sana-sini.Nak amik tindakan apa dak? Ahli sendiri buat hal.Patut tak kecoh.Hahaha...
5.Takda pulak ceramah segera untuk mengecam tindakan macam ni.
6.Semua diam.Rilek-rilek.Macam tak ada apa-apa.Takda bising-bising.Biar polis jalankan tugas dengan aman.Takda ganggu-ganggu.
7.Tak macam kes ketuk ketampi dalam lokap dulu,kes tengah siasat,punya la bising puak-puak ni sampai Malaysia hantar wakil pegi minta maaf kat China.Bila siasatan selesai,melayu rupanya yang kena ketuk ketampi.Terus senyap.
8.Pakcik yang baring tengah jalan sambil pegang bendera dulu....apa khabar sekarang?

Alah..melayu yang mati.Apa nak kecoh kan?

Kalau saman Queen Elizabeth kat London tu untuk sorang pembunuh...RM1 juta..aci dak? hahaha..

4 orang tu beb kena tiaw.Siap kena bakar.Bukan seorang macam kes dulu-dulu.

Double standard jugak rupanya 'pasukan persatuan demonstrasi' ni.Kena batang hidung sendiri,senyap macam celaka.

Jelas dan Rimas.

Bukan..bukan ramas.

Rimas lah!

Nakal.

Wednesday, September 22, 2010

Perbezaan Ketara Jamil Dulu dan Sekarang.

Dulu : Hensem dan kacak.








Sekarang: Semakin Hensem dan Kacak.

Hahahahhahahahaha...!

Tuesday, September 21, 2010

Sepetang Bersama Jamil

Membe aku kat BK4 datang hantar Kriss Evo.Dia pinjam kejap.Jadi aku kena hantar dia balik semula lah ke rumahnya.

Masa keluar tu,aku nampak kucing jiran macam tak tentu arah.Melilau ke sana ke mari bila tengok aku keluar.Ok....mungkin dia tengah lapar.Kesian.

Selesai hantar membe aku tadi,aku balik semula ke Puncak Jalil.Bila sampai kat ESSO puncak Jalil,tiba-tiba aku teringat kucing jiran yang kelaparan tadi.

Dah setel parking kereta semua,aku pun masuk ke dalam kedai ESSO tu.Masuk dan terus menuju ke arah mesin ATM.Setelah menepuk-nepuk mesin tersebut sampai terkeluar duit,aku terus menuju ke arah koleksi ayam panggang dalam cermin kaca.

Ada yang salut madu,ada yang percik dan ada yang black pepper.Nak pilih madu,manis sangat,kucing mungkin tak berkenan manis-manis ni.Nak amik black pepper,pedas sangat pulak.Sakit perut nanti susah.

Jadi aku amik ayam panggang perasa percik.Nak amik sekor,banyak sangat.Mahal lak tu.Aku pun bukan berduit sangat.Nak amik suku,sikit sangat.Aku tak nak buat perangai berebut dengan kucing.Huduh sangat kalau dilihat oleh malaikat pencatat amal.Jadi aku amik sebelah.Bak kata mat saleh...half.

****

Aku parking kereta perlahan-lahan di depan rumah.Kucing jiran yang gebu tadi mula tak tentu arah.Matanya meliar melihat aku.Serta merta gayanya berubah jadi manja.Aku amik surat khabar,duduk sebelah kucing tadi,buka ayam panggang dalam bekas dan cubit sikit isinya.Kucing tadi dah mengiau-ngiau.

Demmit...rasa macam bapak belikan makanan kat anak pulak.

Aku amik seketul,bahagian peha,letakkan atas surat khabar,dan melihat kucing tadi makan.Sebelah ketulan peha ayam tadi,ada secubit kecil isi ayam.

Kucing tadi gigit isi ayam yang kecil tanpa mempedulikan peha ayam besar yang aku dah letak atas surat khabar.Lepas makan isi ayam yang kecil tu,dia terus berlari riang dengan muka manis.Dah puas berlari,dia bantai tido atas simen tanpa mempedulikan aku bersama ayam panggang yang masih banyak.








Benda-benda yang melibatkan haiwan macam ni,memang kena sabar banyak-banyak.

Tapi...masa tu..ada jugak aku terbayang kucing tadi berenang-renang dalam air baldi yang sejuk.

Saturday, September 18, 2010

Abang Taha

Malam semakin berlalu.Namun Kampung Kembang Semangkuk masih lagi belum sunyi.

Bunyi budak-budak menaiki motor masih kedengaran.Bunyi remaja-remaja bermain gitar di tepi jalan masih jelas berkumandang.

Tidak jauh dari situ,kelihatan Abang Taha menunggang motor kapcai kesayangannya.Di bibirnya ada sebatang rokok.Masih bernyala dan berasap.Di kiri 'handle' motornya tersangkut kemas sardin tin kecil bersama sejurai sayur kobis.Nampaknya Abang Taha baru pulang dari kedai.

Sedang asyik menunggang motornya,Abang Taha terpandang Aishah yang sedang berjalan pulang ke rumah Mak Som.Mungkin dia pergi menghantar pakaian yang telah siap dijahitnya ke rumah jiran terdekatnya,Tijah.

Walaupun malam,Aishah begitu berani berjalan berseorangan.Lagipun,semenjak kedatangan Aishah ni,secara ajaib permintaan untuk memasang lampu jalan ke rumah Mak Som yang tertangguh selama bertahun-tahun,serta- merta diluluskan oleh ketua kampung.

Maka,hasilnya,terang benderanglah jalan ke rumah Mak Som yang sebelum ni gelap gelita.

Memandangkan Abang Taha adalah antara lelaki miang di Kampung Kembang Semangkuk,peluang sebegini amatlah susah untuk dilepaskan.Terus dilupakan anak bini di rumah bila melihat Aishah yang meliuk-lentuk berjalan berseorangan.

Abang Taha memperlahankan motorsikalnya sambil menghampiri Aishah.Sambil menghampiri Aishah,hatinya dan kepala otak serta kepala bananya sibuk mengarang ayat-ayat manis.

"Eh...Abang Taha.." ujar Aishah sambil tersenyum manis sebelum sempat Abang Taha buka mulut.

Abang Taha yang masih tidak bersedia dengan teguran Aishah yang disertai dengan senyuman paling manis itu terus hilang kawalan.Tangannya terus terpulas 'throttle' minyak.

Dengan tangkas dan tanpa membuang masa,Abang Taha bersama motor kesayangannya terus menerjah masuk ke dalam semak berduri di tepi jalan.

Belum sempat Aishah berkata apa-apa,Abang Taha dan motornya sudah siap berada di atas jalan raya semula.Tangkas dan pantas.Mata Aishah tak berkelip.

Suasana sunyi.

"Aishah nak tumpang?" Balas Abang Taha dengan muka bercalar-balar terkena pokok berduri sebentar tadi.Mukanya kekal serius dan bersahaja.Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.Kalau bab 'cover' ni,Abang Taha memang cemerlang.

"Terima kasih lah Abang Taha,rumah Mak Som dah dekat dah." balas Aishah penuh sopan.

"Jom lah.Nanti lenguh kaki tu.Jom Abang Taha hantarkan." Abang Taha masih berdegil.Perangai sebiji macam bapaknya dulu.Abang Tahir.

"Tak apa lah Abang Taha.Lagipun,'seat' motor Abang Taha tercabut." ujar Aishah sambil menunjukkan 'seat' motor yang tersandar comel di tepi parit jalan.

"Oh...tak apa.Abang Taha ada banyak lagi 'seat' kat rumah.Motor ni memang macam ni.Kalau jadi apa-apa,memang 'seat' dia akan tercabut.Untuk keselamatan.Abang Taha balik dulu ya." balas Abang Taha sambil berlalu pergi tanpa menghiraukan langsung 'seat' motornya yang tertanggal tadi.Teknik 'cover' Abang Taha memang dah sampai tahap teragung.

Aishah memerhatikan Abang Taha berlalu pergi.

"Boleh pulak dia tahan duduk atas penutup tangki minyak tu.Abang Tahaa.....Abang Tahaaa......" bebel Aishah bersendirian sambil melangkah pulang.








Malam sudah larut.Bulan tegak di langit.Cengkerik berbunyi nyaring.

"Abangg.....kenapa bontot abang berbau petrol ni banggg???...." bunyi satu suara dari dalam rumah sambil disertai dengan bunyi spring tilam yang berkeriuk.
"Melah....jangan derhaka pada suami ya sayang...." balas suara Abang Taha yang penuh dengan kasih sayang.

Malam bertambah larut.Bulan semakin tegak di langit.Cengkerik berbunyi riang.




Sedutan dari cerita panjang Hapacrita All Star.

Friday, September 17, 2010

Rindu...

Rindu kuih akok(tiap-tiap hari beli)...

Rindu nasi lauk ikan salai masak lemak(tiap-tiap hari beli )...

Rindu air jagung(tiap-tiap hari beli)..

Rindu bazar Ramadhannn....

Rindu awek-awek bazarrr....

Sob...sob....sobb...






Teraweh?

Thursday, September 16, 2010

Hello...Helloo....Helloooo!!!


Benda-benda demmit - 1

Baru bercita-cita nak berjogging petang ni.Kaki pulak cedera terpijak pemotong kuku.

Berdarah.

Benci.

Tuesday, September 14, 2010

Jamilah



Dapat hidayah untuk pakai tudung pada petang raya ke-3.

Tapi maintain baju sendat nampak lengan.

Sunday, September 12, 2010

Sehari sebelum raya.

Aku tengah sedap pekena murtabak dekat atas tikar.Besok dah raya.Muka aku macam biasa.Takda teruja sangat nak raya.Orang kata,spirit raya tu semakin lama semakin hilang.Takpa,kita tengok tahun depan macam mana.

Tengah sedap suap murtabak,tiba-tiba adik lelaki aku bawak keluar satu bunga api.Bentuk dia panjang.Dalam sejengkal.

"Bunga api ka mercun tu?" soal aku sambil kunyah murtabak.
"Bunga api kot.Membe kata meletup jugak." balas adik aku sambil belek-belek menda alah tersebut.

Aku bangun perlahan-lahan.Sorang lagi adik perempuan aku join.Kami berdua duduk dengan tenang di belakang adik lelaki aku.

Bunga api tadi dinyalakan.Adik aku lambung jauh-jauh ke belakang rumah.Ke arah bendang terbiar.

PRAP PRAP PRAP PRAP PRAP!!! bunyi bunga api meletup-letup kecil sambil menyembur ke udara.Comel.

"Alaaa.....itu jaaaa?" sindir aku sambil menutup telinga.Ingat mercun jenis meletup kuat tadi.Sia-sia ja aku tutup telinga rupanya.Adik perempuan aku pun gelak-gelak.




TEBABOMMMM !!!!!! Mercun yang menyala comel tadi secara tiba-tiba meletup dengan kuat.

Terdiam.





Manada...manada...sapa kata aku terkejut.

Takda lah.

Beraya bersama Jamil

Rasa awkward tau nak minum air Ribena ais jam 1 tengah hari...

Eh eh...lupa pulak.

Selamat Hari Raya.Maaf Zahir dan Batin. (^_-)

Monday, September 6, 2010

Jamsarina Suhaili

"Encik Muizzz....takkan tak ada cara lain kot." rayu Jamsarina.
"Maaf....saya terpaksa gagalkan kertas peperiksaan awak yang ini." balas Encik Muiz,pensyarah Jamsarina.

"Kalau saya gagal yang ni,habis la saya.Pleaseee encik Muiz...sikit lagi markah nak lulus tu.Tak banyak dah.Lagi 10 markah je lagi tu ha.Saya taknak 'extend' nanti." rayu Jamsarina lagi.
"Saya cakap tak boleh...tak boleh la.Ok...'carry mark' awk lingkup.Paper exam pun hancur." tegas jawapan Encik Muiz.

"Emm...encik Muizzzz..saya sanggup buat apa saja asalkan encik Muiz luluskan kertas saya." Jamsarina mula memasang jerat.
"Maaf...saya tidak boleh buat begitu." tegas jawapan dari encik Muiz.

"Saya maksudkan....'apa sahaja' encik Muiz.Apa sahaja...asalkan markah saya boleh ditambah sikit lagi." balas Jamsarina dengan penuh menggoda.
"Tidak boleh." jawapan Encik Muiz semakin pendek.Matanya memandang Jamsarina dari atas hingga ke bawah.

"Apaaa sahajaa....." balas Jamsarina dengan suara yang lembut.
"Err..emm...apa sahaja?" soal Encik Muiz semula.Rasanya peluang macam ni perlu digunakan sebaik-baiknya.Sudah lama dia tidak berhibur.

"Ya..apaaaaa sahaja Encik Muizzz....asalkan saya lulus." balas Jamsarina sambil tersenyum menggoda.Tanda kemenangan.





*******


"Itu la...aku ajak bergossip,engkau tak nak.Sibuk nak ke kelab malam.Nak berjoli.Nak keluar dari kampus.Bukan nak join aku bersembang.Baru tahun satu dah buat hal dengan Encik Muiz.Ko tak tahu ke,sekarang ni kecoh dia ada skandal dengan Amir blok 11 nun.Bulan lepas skandal dengan Azli Jambu kolej 14.Dengan kejadian ini,maka sahlah Encik Muiz tu memang gay." bebel Suriani Mawardah sambil menyucuk earphone ke telinga sambil bergolek-golek manja di atas katil.

"Mana aku tau dia tu gayyyyy.....eiiiiiii....menyampahhh!!!" jerit Jamsarina sambil menulis semula skema jawapan setebal 5 muka surat sebanyak 100 salinan yang perlu disiapkan dalam masa 3 hari sebagai denda untuk mendapatkan 10 markah.Tangan kanannya sibuk menyalin semula skema jawapan.Tangan kirinya pula sibuk membalas SMS menolak pelawaan dating.

Komik Al-Qamar



Brader yang buat komik ni membe aku.Ha,ada sesapa nak beli untuk adik-adik ke,sesapa ke.Sila-sila beli.Murah je harganya.

RM3.30(Semenanjung Malaysia), RM3.90(Sabah Dan Sarawak),
$2.20(Brunei Dan Singapura)

Oh ye.Aku tak jual.Nak beli kena ke laman web beliau.Nak maklumat lebih lanjut,KLIK SINI untuk ke halaman web beliau.Nak preview komik beliau..KLIK SINI.

Sekian.

(^_-)

Saturday, September 4, 2010

Kerunsingan Jamil - 2




Kalau ganti tali tu dengan rantai besi...agak-agak...'abang-abang' kat KL ni rasa tercabar tak?


Letih berpuasa katanya..




Nanti kita berbuka sama-sama ye.

Friday, September 3, 2010

Cak !!!!!

Ha,kepada orang UiTM yang baca blog ni tadi.Semalam pun ko baca jugak kan.Banyak page pulak tu.Baca elok-elok.Jangan sampai tak buat kerja sudah.Hahaha...

Terima kasih.

Hik hik hik..

Pembaca yang lain-lain pun,terima kasih jugak. (^_-)

Auww..menggedik.

Terharu....






HAHAHAHAHA....


Barai jugak Jamil ni rupanya.

Peah Touch N Go.

"Abang dah ambil kad Touch N Go atas meja tu?"laung Peah dari rumah jiran.
"Dah..abang pergi kerja dulu ya." balas si suami.

Si suami masuk ke dalam kereta yang telah dihidupkan.Perlahan-lahan kereta tadi menghilang di pandangan.Peah tanpa membuang masa terus menyambung perbualan dengan jiran-jirannya.Itulah rutin sambil menunggu penjual ikan datang.Setelah rumah dikemas-kemas,mereka akan berkumpul,bergosip dan bergelak ketawa.

"Kenapa suami kamu pegi kerja ikut highway Peah?" Soal Nurnilam Sari.
"Ikut highway cepat katanya.Jalan biasa sesak.Sebab tu aku belikan kad touch and Go tu." balas Peah sambil menyanggul rambut.

"Ko belikan? Aih..kalau aku,duit tu baik aku simpan.Hujung bulan boleh beli gelang emas." celah Nurfarahim Jamsarina.
"Alaa..,berapa la sangat.Seminggu baru rm20." balas Peah.

"Rajin ko tolong isikan duit.Kenapa Peah.Kalau aku,aku tak peduli pun.Tu semua laki aku yang uruskan.Lagipun dia tak suka guna kad katanya.Malas nak topup.Pakai cash lagi mudah katanya." balas Katrina Jasmin pula di sebelah.

"Kan sekarang ni tol depan tu tengah banyak awek.Buat praktikal dengar ceritanya.Aku lalu haritu,bukan main lagi muda-muda.Lelaki tak ada langsung.Perempuan ja memanjang.Tak berkelip suami aku.Sebab tu aku belikan kad Touch N Go.Takda can la nak menggatal sikit.Ada duit lebih nanti,aku nak beli Smart Tag pulak." balas Peah sambil menyucuk sanggulnya.






"PONNN...PONNNNN....." bunyi hon lori ikan yang dipandu oleh Azman Iskandar Muazzam Shah,seorang penjual ikan tempatan.Mereka terus menamatkan perbualan dan berjalan menuju ke arah lori ikan yang berhenti di hadapan mereka.






"Touch N Go ada jual?" Soal Katrina Jasmin dengan tegas.

Pagi-pagi dah buat hal dengan abang jual ikan.

Thursday, September 2, 2010

Antara Keri,Salmah dan Kamarudin Ilyas.

Keri dengan Salmah berjalan dengan penuh ceria.Tangan berpimpinan.Erat sekali.Sekali-sekala mereka berbual,bergelak manja,tertawa.

Sambil menyusuri jalan,mereka merancang lokasi seterusnya untuk mereka lawati pada hujung minggu tersebut.Banyak tempat yang telah mereka singgah di Bandar Aloq Staq pada hari tersebut.

Baik Keri mahupun Salmah,kedua-duanya menguntum senyum.

Tiba di tepi jalan besar,mereka melintas untuk ke seberang.Sambil melintas,tangan Salmah dipegang erat oleh Keri.Sesekali mereka sambung berbual memandangkan jalan agak lebar.Tiba di tengah jalan,ketika sedang melintas,Salmah mendapati ada sebuah motorsikal sedang menuju tepat ke arah mereka berdua.

Kamaruddin Ilyas,seorang peon,yang menunggang motor tersebut menunjukkan muka yang cemas sambil cuba memberhentikan motornya dengan segera.

Dalam gerakan perlahan,Salmah memandang Keri yang masih leka bercakap ayat manis tanpa menyedari mereka berdua sedang berada di dalam bahaya.Salmah akhirnya mengambil tindakan pantas dengan menolak Keri ke arah seberang jalan.Dia tidak sanggup melihat buah hatinya tercedera.Salmah sanggup berkorban demi Keri.Buah hatinya.

Keri yang terperanjat ditolak,mula menyedari situasi mereka.Tolakan Salmah yang tidak seberapa hanya menggerakkan Keri tidak jauh darinya.Keri bingkas menuju semula ke arah Salmah yang sedang menunggu untuk dilanggar oleh motor tadi.

Salmah hanya mampu memejam mata.Segalanya telah terlewat.

Tiba-tiba Salmah merasakan badannya ditolak ke tepi.Kelihatan Keri sedaya upaya cuba menyelamatkan Salmah. Sebagai lelaki,Keri mesti bertanggungjawab atas keselamatan Salmah.Insan yang paling disayanginya.

Melihatkan Keri dalam bahaya,Salmah menerpa sambil cuba menyelamatkan Keri.Tidak sanggup dirinya melihat Keri dilanggar dengan motor.Malah,melihatkan Keri digigit nyamuk pun sudah mampu membuatkan Salmah sedih dan risau.Apatah lagi dilanggar oleh motor.

Salmah meluru laju ke arah Keri yang sedang berdiri di tengah jalan.Betul-betul di hadapan motor yang ditunggang oleh Kamarudin Ilyas.



Sepi...




"Dah habis? Kalau dah habis,aku nak sambung hantar surat ni." soal Kamarudin Ilyas sambil menyalakan rokok.Motornya ditongkat kira-kira 2 meter di hadapan Salmah dan Keri yang masih bertolak-tolakan.

Wednesday, September 1, 2010

Bila Demonstrasi Dikomersilkan

Aku tergelak bila baca surat khabar hari ni.Kat Indonesia...diorang dah buat menda ni.

Terus aku terbayang entry aku tahun lepas.Hahhaha..

Monday, August 30, 2010

Kuwot of the day.

"Orang dayus je yang suka ponteng-ponteng puasa tanpa sebab ni."

Sunday, August 29, 2010

Apa lagi la diorang ni.

" IPOH 29 Ogos - Polis hari ini menghalang lebih 20 penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) dan Human Rights Party (HRP) daripada berarak beramai-ramai ke Istana Kinta untuk menghantar memorandum mengenai kebebasan beragama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt. Ibrahim Abu Bakar berkata, tindakan itu diambil selepas kumpulan terbabit enggan mematuhi syarat hanya sebuah kereta dengan empat penyokong termasuk pemandu, dibenarkan memasuki istana.

"Syarat ini diletakkan oleh wakil istana dan polis bersetuju, tetapi kumpulan ini cuba berarak beramai-ramai... mengakibatkan polis bertindak menghalang mereka.

"Penyokong kumpulan ini akhirnya enggan menghantar memorandum dan mereka diminta bersurai kira-kira 12 tengah hari,” katanya. - Bernama "

Sumber: SINI.
Sumber lain: SINI


=======================

Dah ada patung emas besar-besar kat Batu Caves pun nak buat hal lagi.Nak bebas macam mana lagi la paria-paria ni.Hantar balik Tamil Nadu baru tau.Kalau kat sana,buat kecoh kang,mesti kena belasah dengan abang Rajni lah.

Aku nak puasa pun rimas tengok berita macam ni.Teringat balik kes diorang nak mintak saman kat Ratu Elizabeth dulu....memang dasar kartun.

Hindraf..Hindraff....




Parti badut.

Saturday, August 28, 2010

Sepagi di Puncak Jalil

Orang belakang rumah dah goreng ikan.

Bau dia......

Masyaallah.....Semerbak.

Friday, August 27, 2010

Tragedi Teraweh sebelum baligh

Lokasi: Kampung SmallVille
Tahun: 1993 rasanya.Darjah 3.

Selesai berbuka puasa kat rumah,aku bersiap-siap ke masjid.Selepas buat apa yang patut,aku keluar dari rumah.

Kat poket kiri baju melayu ada koleksi beberapa mercun.Poket kanan pulak ada pemetik api.Kenapa aku bawak menda tu? Selain dari untuk main-main masa balik teraweh nanti,aku juga ada imaginasi merepek.Aku bayangkan kalau kena culik,aku boleh serang penculik tu dengan mercun yang aku bawak.

Comel.

Setelah berjalan beberapa minit,aku tiba di masjid.Orang pun dah ramai.Biasa la,awal ramadhan.Malam sebelumnya aku tak datang.Hari pertama puasa baru aku datang.Baru terasa feel teraweh dan moreh sket.

Lepas solat isyak,solat teraweh dimulakan.Malam tu aku jadi naik syeikh.Aku bajet nak buat habis 23 rakaat.Memang bersemangat.

Sampai ke rakaat ke lapan,aku dah serender.Kaki dah lenguh.Kepala tiba-tiba teringat kat moreh.Segala menda mula datang dalam kepala.Akhirnya aku tewas.Nak cecah 23 rakaat sekali dengan witir,memang jauh lagi nampaknya.Bila tok imam bangun nak solat semula,aku beransur-ansur ke belakang saf.

Aku duduk bersandar.Lenguh bukan main.Member sebaya dah sibuk main lari-lari kat luar masjid.Terliur jugak.Tapi betis mulus aku dah lenguh.


Sepi...


Tiba-tiba jemaah depan aku masuk solat sunat witir.Aku dah tertanya-tanya.What the hell is going on.Baru 8 rakaat masa aku tinggal tadi.Takkan dah masuk witir.

Setelah berfikir secara genius,baru aku tersedar.

Aku dah solat 8 kali.Bukan lapan rakaat.Jadi,secara matematik mudahnya,8x2=16.Sikit lagi nak capai target.Salah faham secara bodoh macam ni yang buat aku nak geram tak tentu hala ni.Patut la kaki dah macam nak cramp.

Sambil bersandar di saf paling belakang,hati aku bertambah terguris bila melihat jemaah yang sedang tersenyum bersalaman antara satu sama lain sambil melaungkan zikir selepas solat witir.

Benci.Benci.Benci.










Benci.

Thursday, August 26, 2010

Seluar Jeans Dockers Raya!












Membe aku ada jual jeans ni.Berkenan?Sila hubungi beliau untuk ciri-ciri dan data peribadi seluar seperti di dalam gambar.Harga memang cantik.Seluar ni ada 3 pattern.Nak pakai masa raya memang hot habis.Tapi pakai lepas semayang raya la.Jangan buat perangai tak senonoh.

Kepada gadis-gadis yang nak beli untuk pakwe ke,dialu-alukan jugak.Nak beli untuksuami pun takda masalah.Memang barang baekkkkkkk punya.

Apa-apa hal berkenaan seluar ni,hubungi beliau: 0192653002. Jangan tanya hal-hal dalam seluar sudah.

Aku gelar membe aku ni,Romi Palarae.Sebab muka dia macam Bront Palarae.Tak percaya,masa beli seluar ni,tengok muka dia.

Tapi jgn tgk lama-lama.

Bahaya.

UPDATE: Harga bawah seratus.Ada 3 jenis cutting.Untuk maklumat lanjut tentang seluar,call terus dia.Tak kesah la nak tanya ada ke tak dia jual seluar pompuan,tanya ja dia.Aku tolong iklankan sahaja.Terima kasih kepada yang berminat. =) =) =)

Sebentar bersama Jeman

"Murid-murid,kita kalau lepas bangun pagi,sebelum mandi,kita buat apa?"soal cikgu Tipah.
"Gosok gigi cikguuuuuuuuuuuuu!" jawab ramai-ramai.

"Ha,kamu Jeman,kat rumah gosok gigi berapa kali sehari?" cikgu Tipah cuba bermesra.
"Sekali ja cikgu." balas Jeman penuh ikhlas.

"Kenapa gosok gigi sekali ja?" soal cikgu Tipah semula.
"Mak saya cakap,ubat gigi manis sangat.Boleh rosakkan gigi.Jadi tak boleh pakai banyak-banyak." balas Jeman lagi.Penuh ikhlas.












Mak Piah yang sedang sibuk bermesyuarat tingkap di dapur rumah bersama jiran tetangga....tiba-tiba tersedak-sedak.

Wednesday, August 25, 2010

Sepetang di Puncak Jalil

Aku parking kereta dengan penuh bergaya.Makcik-makcik yang sedang sibuk berniaga kat bazar ramadhan berhampiran restoran Firzana semua memandang.Suami kat sebelah terus dilupakan.Pelanggan-pelanggan terus tak dilayan.Masing-masing menunggu aku keluar dari kereta.Mereka ingin tahu siapakah gerangannya jejaka yang parking dengan penuh bergaya sebentar tadi.

Aku sambung dengar lagu dalam kereta.

Mereka kecewa.

Operasi bazar ramadhan berjalan seperti biasa semula.Awek menggedik sana sini.Kuih-muih pun menggedik sana sini menarik perhatian pengunjung.

Setelah semuanya kembali normal,aku melangkah keluar dari kereta menuju ke kedai gunting rambut.Saja keluar lewat sikit.Aku kan pemalu.Demmit,muka hensem gila,tapi pemalu.Rare nih.

Aku berjalan masuk ke dalam kedai gunting rambut.Macha dalam kedai angkat tangan sambil panggil aku bos.Nasib baik aku tak buat hal.Kalau tak,nak jugak aku sebut.."ko dipecat".Takpun,aku boleh jugak cakap..."bagi semua duit,letak dalam petty cash ni" sambil hulur wallet aku.

Aku sambut sapaan macha tadi dengan senyuman.Dah selesai buat muka manis dengan harapan dapat potongan harga,aku duduk atas kerusi.Depan aku ada majalah.Dari cover,nampakmacam majalah iklan.Sambil tunggu macha tadi gunting rambut brader sorang lagi,aku buka majalah depan aku.

Majalah tersebut penuh dengan gambar gadis-gadis berbikini dengan tubuh yang ranum.











Ok....terkena jerangkap samar versi bulan-bulan puasa macam ni yang tak gemar ni.

Bersepai pahala.

Tuesday, August 24, 2010

Bila Jamil bermain Dota

Sudah terlalu lama rasanya aku tak main game Dota kat Garena ni.Jadi,semalam aku cuba masuk 'room' Singapore.Nak tengok sket macam mana adik-adik kat Singapore bermain.

Heh..macam sayur aku belasah diorang.

Tarabas memang ganas.

(versi riak ramadhan)

Monday, August 23, 2010

Siri Double Jay a.k.a JJ a.k.a Jamil Jiwang - 2

Hujan.Cuaca redup.

Teringat macam mana bapak aku gigih pandu kereta,hantar aku ke sekolah berasrama kat pekan SmallVille.Lepas tu hantar ke Arau pulak.Kadang-kadang mak aku temankan sekali.Dari Smallville ke Arau tu bukannya dekat.Jauh bukan main.Walaupun sibuk dengan kerja,orang kata,masih ada masa dengan anak-anak.

Jadi...sekarang ni...

Aku teringin sangat nak bawa mak dengan bapak aku pusing-pusing semua tempat yang menarik.Tempat yang mak dan bapak aku bawa pegi jalan-jalan dulu.Pusing-pusing jalan lama Kuala Nerang,Naka,Nami,Sik,Baling,Bukit Keroh,Tasik Pedu,Jitra,Penang,Pantai Remis,Bota Kanan,Bota kiri,Tasik Banding,Padang Besar,Merbau Pulas,Arau dan banyak lagi tempat dengan nama pelik-pelik.Itu yang ingin aku buat.Sama dan sebijik seperti apa yang mereka buat dulu kepada aku.Semua jalan tu ada kisahnya yang tersendiri.

Bezanya,kali ini,aku yang memandu dan mereka dapat berehat sambil menikmati pemandangan. dengan tenang.Mungkin sesekali berbicara.Bercerita tentang bukit mana yang dia pernah masuk.Bukit mana pernah dia redah.Gunung mana dia dapatkan hasil hutan untuk sara keluarga.

Sekurang-kurangnya,aku tak nak memori itu luput.

Terutama memori aku dan bapak aku pergi rumah nenek yang jaraknya dekat sejam kalau naik motor secara slow-slow.Sampai di rumah nenek,hujan lebat.Dijamu pula nasi panas serta sayur kubis campur telur.Masih terasa lagi manisnya kubis tersebut dalam memori aku.Dalam perjalanan pulang ke rumah,aku dengan bapak aku singgah di satu kawasan air terjun.Bapak aku ambil satu bunga pokok liar yang jatuh di tanah,dilambungnya tinggi-tinggi.....bunga tadi jatuh semula ke tanah perlahan-lahan sambil berpusing-pusing seperti kipas helikopter.

Aku yang masa tu mungkin berumur 4 tahun,duduk di depan bapak aku,dengan kaki dalam raga motorsikal...menjerit keriangan.Seronok.Gembira.

Bahagia.




End..

Thursday, August 19, 2010

Selamat Pagi (^___^)

Aku agak sibuk sekarang.Sebab tu jarang update.Nanti aku reply komen korang semua ye.

Aku tengah sibuk mengorat Lisa Surihani.

Hik hik hik....







Selamat berpuasa. =p

P/S:Demmit..kiut gila perangai aku.

Wednesday, August 18, 2010

Teraweh

Teraweh di kampung memang sedap.Bila masuk ja masjid,cakap ja,penjuru mana yang tak ada nostalgia.Semua tempat ada nostalgia.

Paip air besi yang besar depan masjid tempat aku lepak.Pagar batu masjid tempat aku belajar keseimbangan badan dengan berlari-lari di atas dia.Masuk dalam masjid,tengok saf paling belakang ja,terus nampak diri aku masa sekolah rendah dulu yang sempat lena lepas solat teraweh.Senang cerita,memang banyak lah kenangan.

Lepas solat teraweh,pekena witir.Tok imam siap cakap nak sujud lama sikit.Tadahal.Bulan-bulan manis macam ramadhan ni mana boleh lepas peluang mintak ampun.Rugi.

Habis ja semua acara solat,ahli jemaah ramai-ramai keluar.Masa untuk moreh.Lepas amik moreh,aku kena jalan dengan penuh hensem.Maklumlah,ramai awek-awek dan mak awek yang ada sekali.Gaya kena jaga.Baru nama keluarga harum macam....ah..macam apa-apa yang harum lah.

Sebelum ambil moreh,aku menuju tempat letak kasut.Kena pakai kasut,baru boleh amik moreh.

Tiada kasut aku di situ.

"Kasut balik awal nampak.." tegur sorang pakcik yang melihat aku terkial-kial mencari selipar.







Ok,tak seronok tau berjalan kaki ayam menuju ke motor.Moreh ke mana,awek ke mana,mak awek ke mana....selipar ke mana.Semua plan berterabur.

Ibu jari kaki kiri aku menggeletar masa aku pecut naik motor.

Sejuk baii...

Monday, August 16, 2010

Air Kolam

Aku balik kampung weekend lepas.Kat kampung,nikmat dia jgn cakap la.Tambah pulak bulan posa.Bazar ramadhan kat Pekan SmallVille memang meriah.Meriah dengan aneka juadah dah aneka jenis awek-awek.

Yummy.

Bila aku balik kampung,salah satu menda yang aku kena biasakan diri adalah air kolam.Air kolam kat rumah aku tu,tahap sejuk dia dah nak cecah tahap air peti.Kalau turun sikit lagi suhu,dah boleh pecahkan buat ais kacang.Air kolam tu,jenis air dari bukit.Air segar dari kolam takungan atas bukit.Dari kawasan takungan,terus masuk ke dalam paip besi,dan terus menuju ke rumah-rumah kat kampung SmallVille.Walaupun ada air JKR,jarang guna.Mandi air bukit lagi sedap.

Kalau amik wudhuk waktu subuh...humang aiiii...gerenti lah 90% akan kena selsema sekejap.Pagi-pagi,kalau nak mandi,memang tak payah la gigih sangat pegi panaskan air.Lepas mandi,sejuk dia lagi kaw-kaw.Masa mandi sedap la.




********



"Jamilll....bangun.Cepat.Bersahur.Dah dekat pukul 5." bunyi suara mak aku sayup-sayup sambil menyiapkan makanan di dapur.

Bila aku buka mata,mata aku merenung sayu ke arah dinding.Fikiran jauh merewang.Akal jauh memikirkan jalan penyelesaian terbaik.Nampaknya,pagi tersebut antara pagi yang malang.

Apahal la time kat kampung tu jugak nak kena mandi wajib.

Tunggu la aku balik KL dulu.

Sejuk tau.