Friday, September 17, 2021

Rahman Rahim

Suasana lewat petang tersebut sangat tenang. Fatah menggunakan petang tersebut dengan aktiviti mencuci kenderaan kesayangan beliau iaitu sebuah pacuan 4 roda yang gah dan sasa. Habis bahagian enjin dan badan kereta dicucinya supaya kekal berkilat. Sambil mencuci kereta, Fatah memasang lagu kegemarannya iaitu dangdut disko. Jiwanya tenang bila mendengar alunan muzik yang membolehkannya bergerak lancar ketika mencuci kenderaan beliau. 


Sesekali muzik tersebut mengenangkan zaman kegemilangan beliau ketika menari di dalam disko. Kalau John Travolta kelihatan hebat menari di dalam filem Saturday Night Fever, Fatah pun apa kurangnya. Dengar cerita, sebelum ke disko, Fatah akan menelan telur mentah untuk dapatkan tenaga menari.


Ketika Fatah hampir selesai mencuci kenderaan kesayangannya, tiba-tiba matanya terpandang ke arah Rahman Rahim. Jiran beliau di taman perumahan tersebut selang 2 buah rumah. Rahman Rahim kelihatan sedang membuka meja kecil di hadapan pintu pagar dan meletakkan beberapa sayur seperti timun, terung dan tomato di atas meja tersebut. 


Fatah kehairanan. Apa motif Rahman Rahim buat benda tersebut. Takkan dia nak menjual sayur. Kalau ikutkan jenis kereta yang dia guna, punya kaya si Rahman Rahim ni. Harta yang ada pun rasanya, makan tak habis. Nak sedekah dekat orang lalu lalang tak logik, sebab sikit betul sayur yang dia letak.



"Assalamualaikum bang Man...." laung Fatah kepada Rahman Rahim. Rahman Rahim buat-buat pandang kiri kanan macam terkejut. Menyampah betul.


"Waalaikummussalam...ya Fatah. Ada apa?" laung Rahman Rahim semula sambil melambai tangan. 


"Abang nak menjual ke, sedekah tu?" Fatah menyoal dari jauh sambil berjalan menuju ke arah Rahman Rahim. Penat juga nak jerit-jerit ni. 


"Abang nk menjual lah ni. Jual sayur. Teringat pasar malam. Rindu pulak suasana tu. Dah lama tak merasa sejak PKP ni." balas Rahman Rahim ketika Fatah tiba di sebelahnya. 


"Abang ada masalah kewangan ke, kalau ada cerita lah. Boleh saya tolong kalau saya mampu.." balas Fatah penuh prihatin. Selaku orang yang baru berpindah ke situ sebulan dua lepas, dia kena beramah mesra sikit. 


"Ish..takde lah. Macam abang cakap tadi. Rindu suasana pasar malam macam zaman dulu. Waktu nak magrib, ada orang jual sayur, jual ikan, jual kaset dengan CD sambil pasang muzik kuat-kuatttttttt bagi dengar satu pasar malammmm..."....balas Rahman Rahim sambil menyusun seketul dua terung yang berada di atas meja kecilnya. 









Fatah tersedar. Tanpa membuang masa, Fatah terus buat balik kuang laju-laju menuju ke kenderaaannya dan terus menutup muzik disko dangdut yang bunyinya boleh didengari satu taman perumahan. 


Rahman Rahim mengemaskan mejanya semula dengan tenang. 


Pasar malam dah ditutup. 

Tuesday, August 17, 2021

Jem Rambutan

Sekarang musim buah. Buah di kampung aku memang banyak. Buah langsat, dokong, manggis dan yang paling champion sekali buah rambutan. Dia punya banyak tu kalau nak kira, memang naik letih. Walaupun kita semua tahu, buah paling champion sebenarnya adalah buah yang tak boleh dilihat oleh lelaki, namun buah rambutan ini memang banyak gunanya. 


Antara kegunaan buah rambutan ini adalah dibuat jem. Disebabkan buah ini namanya rambutan, maka ia dipanggil jem rambutan. Jika ianya adalah buah fikiran, maka jem otak aku. Aku pernah juga cuba makan biji rambutan ini, tapi tak apa, aku cerita di post yang lain pasal kejadian tersebut. Hari ini kita cerita pasal jem rambutan dulu. Mohon jangan gelojoh. 


Selaku pemanjat pokok yang sensasi, aku mengenakan uniform yang berpatutan sebelum memanjat pokok. Aku tukar kain pelekat yang aku pakai kepada seluar pendek. Memanjat pokok buah di musim buah dengan memakai kain pelekat adalah "a big no no". Bukan apa, risau juga nanti ada kawan yang suka bergurau kasar dia pegi jolok dengan galah buah terlarang di dalam kain. Naya. 


Setelah mengambil satu guni rambutan, maka rambutan tadi terus diproses dengan bersih. Kulit dikupas, isi rambutan dibasuh dan dihiris serta bijinya dibuang.Yang tinggal cuma isi rambutan yang manis sahaja. Langkah seterusnya adalah mengisar isi rambutan tadi. Rambutan akan dikisar sehingga hancur. Ya, isi rambutan dikisar dengan menggunakan pengisar. Jangan buat gila pegi kunyah dengan mulut lepas tu kumpul dalam bekas. 


Baiklah. Setelah selesai mengisar, isi rambutan tadi dimasukkan ke dalam kawah. Isi rambutan tadi akan dikacau sehingga menjadi pekat. Okay, dengar macam mudah kan? Proses ini mengambil masa di antara 1 jam setengah sehingga 2 jam setengah. Isi rambutan ini perlu dikacau selalu untuk mengelakkannya hangus. Bila hangus, nanti jem akan rasa pahit dan tidak sedap. Kalau tak sedap, maka sia-sia usaha aku jadi beruk panjat ambil buah sebentar tadi. 


Apa, susah nak bayangkan? Baiklah, biar Jamil belanja gambar sedas dua bagi mereka yang lemah daya imaginasi. 





Dari rajah di atas, kita dapati isi rambutan yang telah hancur sedang berada di atas kawah. Pada awal macam ni memang mudah nak kacau sebab isi rambutan masih banyak air. Bila awal-awal kacau tu, rasa macam tengah kayuh sampan sambil dating dengan awek seberat 40kg. Muka pun madu je bila kayuh. Ringan. Tapi bila dah nak siap jadi jem tu, rasa macam tengah kayuh sampan sambil bawa bini dengan 8 orang anak sekaligus. Sebab dah pekat dan likat. Apa? Susah nak bayangkan lagi? Tak apa, biar Jamil belanja lagi gambar. Okay, gambar di bawah ketika jem hampir siap. Cuma kena kacau bagi dia gelap sedikit lagi. 





Sebelum dia jadi jem macam gambar di atas, fasa yang paling leceh sekali adalah fasa menggelegak. Waktu ni air mula nak kering dan gula perlu ditambah. Jadi, selaku seorang pakar, aku dengan tenang meletakkan pengacau dan mula memasukkan gula. Gula dimasukkan dengan kadar agak-agak. Setelah berpuas hati, aku nak ambil semula pengacau tadi. Memandangkan ianya tidak dikacau sebentar tadi, maka jus isi rambutan yang tengah pekat tadi mula menggelegak. Apabila menggelegak, akan ada percikan jus rambutan yang pekat dan panas terbang di sana sini. Jus rambutan yang pekat dan panas yarabbi tadi menggelegak dan terbang dengan cemerlang dan hinggap di atas pemukaan kaki aku yang mulus dan gebu. 







Harreyy.........aku shuffle macam nak gila depan kawah jem rambutan. 

Saturday, July 17, 2021

Jamil Merentas Daerah

Suasana di balai polis sangat tenang. Borang di depan aku, aku isi dengan penuh kusyuk. Risau juga kalau salah isi, abang polis di dalam tu nanti libas dengan gari pulak. Cuaca panas betul. Meja plastik tempat aku isi borang tadi, bergoyang-goyang. Sebab tu lah tulisan aku jadi tak cantik (alasan).


Selesai mengisi borang, aku pergi ke kaunter di mana terdapat 2 anggota polis sedang duduk membuat kerja masing-masing. Ada lelaki dan perempuan. Aku menuju ke arah polis lelaki. Aku serahkan borang beserta lampiran maklumat yang diperlukan. 


Selepas borang disemak, permohonan aku diluluskan. Anggota polis tadi bangun dan pergi membuat salinan di mesin pencetak di belakangnya. Selesai mencetak borang tadi, dia menyerahkan kepada aku. Aku menerima borang tadi sambil mengucapkan terima kasih.


Anggota polis tadi pandang ke arah aku sambil berkata.."Pandu elok-elok, jangan laju-laju".  


"Terima kasih..." - aku membalas dengan penuh sopan sambil muka senyum-senyum. Berhemah betul polis sorang ni. 


"Ya..ya...Ronda elok-elok. Jangan laju-laju" - sambung anggota polis tadi sambil menekan alat komunikasi yang aku baru perasan. 


Okay...ucapan penuh madu tadi bukan untuk aku. Dia tengah bercakap dengan anggota peronda yang sedang buat laporan rondaan rupanya. 





Benci...

Saturday, July 3, 2021

Musim PKP dan Musim Buah

Pagi tu, cuaca cerah dan cantik. Langit membiru dan terang. Setting cuaca macam ni yang paling aku suka sebab masa kecil-kecil dulu, cuaca macam ni lah aktiviti aku paling rancak. Mandi sungai, kayuh basikal laju-laju, main bola di padang, panjat pokok jambu batu belakang kantin sekolah dan lepak atas paip air besar tepi jalan sambil makan aiskrim. Lepak atas paip air ni best, sebab air bergerak dalam paip, jadi paip tersebut sejuk je sepanjang masa. Tambah pula dengan redup dari pokok besar di tepi, memang port terbaik untuk bergosip tentang cerita kartun. 


Okay, tamat imbauan masa silam. Kita berbalik kepada masa kini semula.


Aku berdiri sambil cekak pinggang. Mata aku memandang ke arah pokok rambutan di hadapan aku. Buah dah lebat, jadi kena ambil sebelum dia masak sangat. Aku tak suka rambutan yang masak sangat, manis terlampau ni tak sedap. Rambutan yang kuning-kuning sikit tu memang peberet aku. 


Kalau zaman kanak-kanak dulu panjat pokok memang champion. Bila orang tengok, boleh naik keliru antara beruk dengan manusia. Tapi bila umur dah 37 ni, tambah pulak dengan badan yang gemuk gedempol berkat makan mewah masa PKP, memanjat pokok adalah satu aktiviti yang agak mencabar. 


Leher semakin lama semakin hilang. Otot-otot kekar di badan semuanya dah lama letak jawatan aku rasa. Tak nampak sebarang kehadiran otot-otot kekar di badan. Ini sangatlah tidak membantu di dalam aktiviti memanjat pokok. Tapi semangat beruk di dalam diri masih mekar. Jadi aku cuba panjat juga sambil gagahkan diri. 


Bladihel, punya seksa nak panjat. Akhirnya aku berjaya naik ke dahan pertama. Bersedia untuk ke dahan yang seterusnya. Tangan aku memegang kemas dahan. Di belakang aku, ada parang panjang terselit di dalam seluar. Gaya dah macam komando nak sembelih musuh. Oh ye, aku bawa parang untuk menebang dahan di atas yang dah berat dengan buah. Nanti orang di bawah boleh lah ambil buah di dahan yang dah ditebang. Tak perlu nak bawa galah naik jolok sikit-sikit. Tebang terus je dahan. 


Dahan pertama telah ditebang. Dahan yang lebat dengan buah. Aku bersedia untuk ke dahan yang lebih tinggi. Aku selitkan semula parang aku di belakang. Peluh jantan mula mengalir. Aku susun langkah dengan teratur. Tangan kanan aku mula memegang dahan dan bersedia untuk naik lebih tinggi. 



"PAP! PAP! PAP!"

"PAP! PAP! PAP!"


Aku terdengar macam bunyi tepukan gemuruh dari sebelah kanan aku. Kelihatan ada seekor kelawar buah dan seekor tupai tengah duduk di dahan pokok memerhatikan aku sambil memberi tepukan. Apa gila kelawar berjaga waktu siang. Tak reti-reti nak tidur ke macam mana. 


"Gila ah, dia boleh panjat pokokkkkk..." jerit si tupai memerli.


"Aku ingat lembu gemuk mana naik pokok tadi. Bahahaha..." kelawar buah hina aku sedas dua sambil gelak.


Harrey...


Ok fine. Esok aku diet. 

Sunday, March 21, 2021

Pontianak Simpang Tiga

Rahim Din berpeluh-peluh. Sudah hampir 4 jam dia bertarung dengan Pontianak yang merasuk Salmah si gadis paling cantik di dalam kampung. Akhirnya Pontianak tadi mengalah dengan kehebatan Rahim Din. Selain boleh melantak 4 pinggan nasi lemak Sabariah janda, Rahim Din juga terkenal sebagai peraih buah yang berjaya. Sebutlah apa jenis buah seperti ciku, langsat, dokong, durian, semua dia boleh cari. 


Cuma dia tak jual buah Strawberry, cepat lembik katanya. 


"Aku hantar kau balik. Beritahu aku, di mana asalmu." Rahim Din gertak Pontianak di dalam badan Salmah. Pontianak di dalam badan Salmah, terus memberikan lokasi tanpa banyak soal. Hebat betul Rahim Din.


Setelah mendengar lokasi yang dinyatakan oleh Pontianak tadi, Rahim Din dan side-kicknya, Man Lipan, berpandangan sesama sendiri. Jauh betul lokasi tersebut. Tapi sebagai orang harapan di kampungnya, Rahim Din perlu menghabiskan tugasnya pada hari itu juga. Sambil berbincang, sempat juga matanya mengerling ke arah betis gebu si Salmah. Mak Miah yang perasan renungan Rahim Din, terus menarik cepat-cepat kain Salmah yang terselak sikit tadi semasa berubat. 


Rahim Din menyediakan beberapa benda sebagai syarat menghantar Pontianak tadi ke tempat asalnya. Setelah berpuas hati, Rahim Din membawa Pontianak tadi menuju ke destinasi yang dinyatakan. Perjalanan mengambil masa berhari-hari. Naik turun bukit, perkara biasa. Demi menghantar Pontianak tadi, Rahim Din sanggup melakukan apa sahaja. Pemandu yang diupah pun tak banyak merungut. Beliau faham tanggungjawabnya. 


Kenderaan yang membawa Pontianak akhirnya sampai ke sebuah rumah lama di simpang tiga sebuah kampung terpencil. Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. 


"Oooooo....Tok Moh Sam Sungai Sebatang. Ada ke?" Laung pemandu tadi dari dalam kenderaan. 


Tiba-tiba muncul seorang lelaki. Dia datang dengan muka serius tapi berkemeja kemas.


"Ya saya. Sekejap!" Jawab Tok Moh Sam Sungai Sebatang.



**********



"Nah, Tok Moh sign kat sini, dan ini barangnya." dengan tenang brader J&T bagi borang kepada Penghulu Sam sambil menyerahkan satu kotak dilabel "Pontianak" yang dipenuhi dengan barang seperti pulut kuning bagai. Di belakangnya, kelihatan Pontianak sedang mencebikkan bibir, penat naik van barang agaknya. 


"Aku dah pesan, jangan mengikut orang pegi jauh-jauh musim PKP ni, susah orang nak hantar kau balik nanti. Kau degil! Ha rasakan! Tak pernah lagi orang hantar balik hantu aku guna pos! Aku ingat orang nak hantar blender yang aku beli dekat Shopee aritu." bebel Tok Moh kepada Pontianak sambil sign borang penerimaan. 


Brader J&T lenguh pipi tahan gelak sambil tunggu borang. 


"Benci!" balas Pontianak tadi antara dengar tak dengar sambil terbang manja ke arah pokok ara berhampiran. 




Thursday, March 4, 2021

4/3/21

Cantik tarikh harini. Patut selebret dengan buat MoonWalk. Tapi aku haram tak pandai buat MoonWalk. 


Risau tersadung tumit. 


Oh hai kamu semua. Apa khabar? Sehat? Stok topeng cukup? Dah daftar cucuk vaksin? (^_^)v