Saturday, July 3, 2021

Musim PKP dan Musim Buah

Pagi tu, cuaca cerah dan cantik. Langit membiru dan terang. Setting cuaca macam ni yang paling aku suka sebab masa kecil-kecil dulu, cuaca macam ni lah aktiviti aku paling rancak. Mandi sungai, kayuh basikal laju-laju, main bola di padang, panjat pokok jambu batu belakang kantin sekolah dan lepak atas paip air besar tepi jalan sambil makan aiskrim. Lepak atas paip air ni best, sebab air bergerak dalam paip, jadi paip tersebut sejuk je sepanjang masa. Tambah pula dengan redup dari pokok besar di tepi, memang port terbaik untuk bergosip tentang cerita kartun. 


Okay, tamat imbauan masa silam. Kita berbalik kepada masa kini semula.


Aku berdiri sambil cekak pinggang. Mata aku memandang ke arah pokok rambutan di hadapan aku. Buah dah lebat, jadi kena ambil sebelum dia masak sangat. Aku tak suka rambutan yang masak sangat, manis terlampau ni tak sedap. Rambutan yang kuning-kuning sikit tu memang peberet aku. 


Kalau zaman kanak-kanak dulu panjat pokok memang champion. Bila orang tengok, boleh naik keliru antara beruk dengan manusia. Tapi bila umur dah 37 ni, tambah pulak dengan badan yang gemuk gedempol berkat makan mewah masa PKP, memanjat pokok adalah satu aktiviti yang agak mencabar. 


Leher semakin lama semakin hilang. Otot-otot kekar di badan semuanya dah lama letak jawatan aku rasa. Tak nampak sebarang kehadiran otot-otot kekar di badan. Ini sangatlah tidak membantu di dalam aktiviti memanjat pokok. Tapi semangat beruk di dalam diri masih mekar. Jadi aku cuba panjat juga sambil gagahkan diri. 


Bladihel, punya seksa nak panjat. Akhirnya aku berjaya naik ke dahan pertama. Bersedia untuk ke dahan yang seterusnya. Tangan aku memegang kemas dahan. Di belakang aku, ada parang panjang terselit di dalam seluar. Gaya dah macam komando nak sembelih musuh. Oh ye, aku bawa parang untuk menebang dahan di atas yang dah berat dengan buah. Nanti orang di bawah boleh lah ambil buah di dahan yang dah ditebang. Tak perlu nak bawa galah naik jolok sikit-sikit. Tebang terus je dahan. 


Dahan pertama telah ditebang. Dahan yang lebat dengan buah. Aku bersedia untuk ke dahan yang lebih tinggi. Aku selitkan semula parang aku di belakang. Peluh jantan mula mengalir. Aku susun langkah dengan teratur. Tangan kanan aku mula memegang dahan dan bersedia untuk naik lebih tinggi. 



"PAP! PAP! PAP!"

"PAP! PAP! PAP!"


Aku terdengar macam bunyi tepukan gemuruh dari sebelah kanan aku. Kelihatan ada seekor kelawar buah dan seekor tupai tengah duduk di dahan pokok memerhatikan aku sambil memberi tepukan. Apa gila kelawar berjaga waktu siang. Tak reti-reti nak tidur ke macam mana. 


"Gila ah, dia boleh panjat pokokkkkk..." jerit si tupai memerli.


"Aku ingat lembu gemuk mana naik pokok tadi. Bahahaha..." kelawar buah hina aku sedas dua sambil gelak.


Harrey...


Ok fine. Esok aku diet. 

2 comments:

sitinaminah02 said...

oiii.. masih rajin update blog ye sampai sekarang.. hahaha...

btw, rambutan sini mahal kot.. sekilo rm10.. tapi nak beli jugak sebab lama tak makan..

StingRay said...

oiii...haha. Sekali-sekala lepas rindu nak mengomel.