Tuesday, January 23, 2018

Antara Rahim, Latif dan.....

Peluru bersimpang-siur di atas kepala Rahim dan Latif. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Peluh jantan mereka menitis laju di dahi, seterusnya turun ke pipi, bercantum dengan manik-manik peluh yang lain dan setersnya turun semakin laju ke leher, membelahi dada kekar mereka dan turun ke....amboi, sudah sudah la tu. Peluh mengalir pun nak tenung? 

Nakal. 

"Kita kena letupkan pagar kawat di hadapan. Jika tidak, kita tidak boleh ceroboh ke kawasan musuh". Jerit Rahim antara dengar dan tidak dek kerana letupan bom di sana sini. Namun begitu, disebabkan Rahim adalah Kapten, Latif hanya mengangguk tanda faham. Berkat kerap ditibai oleh Rahim di kem, menyebabkan Latif terus jadi auto angguk bila disuruh untuk buat apa-apa. Memang berbakat untuk jadi komando berjaya si Latif ni. 

Satu letupan kuat tiba-tiba meletup di sebelah mereka. Rahim, Latif dan 4 anggota tentera yang berdekatan terpelanting dari kedudukan mereka. Telinga mereka berdengung. Pandangan kabur. Masing-masing terasa pening. 

Rahim cuba bangun. Namun kepalanya terasa berat. Dari samar-samar, kelihatan Latif sedang bangun sambil memegang senapang. Nampaknya Latif sedang bersedia untuk menyerang balas. Selain gemar mengangguk, Latif juga terkenal dengan barannya apabila diasak dengan teruk. Mungkin Latif terlalu banyak membaca komik Dragon Ball ataupun Naruto. 

Topi keselamatan yang dipakai Latif telah tercabut entah ke mana. Menyedari Latif tidak bertopi keselamatan, Rahim menjadi garang.

"Tunduk! Tunduk!" jerit Rahim kepada Latif yang sedang membalas tembakan kepada musuh di hadapannya sambil melutut. Rahim risau peluru sesat musuh singgah di kepala Latif. 

Tiba-tiba, satu tembakan terkena di tepi kepala Latif. Kerisauan Rahim tadi berasas. 

Rahim yang sedang cuba untuk bangun semula tadi tergamam. Serpihan hasil tembakan dari kepala Latif terbang ke arah Rahim, dan mendarat di atas badan Rahim yang sedang terbaring. Rahim menggigil. Serpihan kepala anak buahnya berada di atas badannya. Dalam kebingitan suasana perang, Rahim memegang dan melihat dengan jelas serpihan tadi. Tidak kenyal seperti daging atau kulit kepala, namun berpasir seperti.....











"CELAKA....tebal kelumumur kau!!! NAH, gunakan syampu jenama Bidandan ni." Jerit Rahim sambil menghulurkan sebotol syampu anti-kelumumur kepada Latif. 


Peluru bersimpang-siur. Bom meletup di sana sini. Tentera berlari-lari. Nun di satu sudut, kelihatan Latif sedang enak membersihkan rambut sambil dibebel oleh Rahim tentang erti kebersihan diri. 


"Iklan ini ditaja oleh syampu jenama Bidandan."

* Gadis promoter berwajah cantik muncul di kaca TV dengan muka berseri-seri. *