Tuesday, November 1, 2022
AA - Aiman dan Atok
Wednesday, October 12, 2022
Kamran Asman
Lagu cinta meleret berkumandang di corong radio kenderaan Kamran. Hari sudah lewat malam. Kalau tak kerana sibuk mengejar OT di kilang, mungkin waktu ini dia sudah berdengkur dengan riang-ria di rumah. Tiada sebiji kereta pun kelihatan pada waktu tersebut. Jalan lengang.
Apabila tiba di sebuah selekoh, kereta Kamran tiba-tiba tersengguk-sengguk. Untuk mengelak bala bencana dilanggar kereta lain di tengah-tengah jalan, Kamran menggunakan saki baki kebijaksanaan yang ada di dalam kepala dengan memandu kenderaan beliau ke bahu jalan.
Kamran syak minyak nak habis memandangkan meter minyak kereta beliau suka buat hal. Elok berhenti, enjin kereta beliau berasap.
Kamran kaget.
Kamran segera keluar dari kenderaan dan terus memeriksa enjin kenderaan beliau. Pelik, asap yang berkepul-kepul tadi tiba-tiba hilang. Enjin kereta hidup seperti biasa.
Kamran kelu.
"Hiiii hiiiiiiiiiiii......." tiba-tiba kedengaran bunyi hilaian ketawa dari seberang jalan.
"Hiiiii hiiiiiiii hiiiiiiiiiiiii......." bunyi hilaian ketawa dari belakang Kamran pula. Cepat betul dia berpindah ke belakang Kamran.
Kamran menoleh ke belakang. Kelihatan cik Pontianak sedang senyum menyeringai. Gigi taring dah keluar. Belum sempat Kamran nak baca apa-apa, cik pontianak sudah memegang kepala dan tangannya. Kamran pasrah, dia sudah kelu tak mampu berbuat apa-apa lagi. Cik Pontianak dengan rakus terus menerkam ke leher Kamran.
Suasana sunyi. Mata Kamran berkelip-kelip. Mata cik Pontianak pun berkelip-kelip.
"Ala bedebahnya kauuuu...gemuk sampai takde leher. Aku nak gigit pun susah. Buang masa I nyahhhh....." bebel cik Pontianak panjang lebar sambil terbang ke arah pokok besar di seberang jalan sambil kibas-kibas rambut.
Kamran Asman duduk tersandar di tepi keretanya. Matanya bergenang sambil jari-jemarinya sibuk menaip di Google mencari tempat untuk mendaftar program kuruskan badan.
Matanya berkaca-kaca.
Hatinya koyak.
Pedih.