Kasim Malik memekup telinganya rapat-rapat.Telinganya sudah tidak tahan lagi mendengar jeritan seksaan setiap hari.Jiwanya celaru.Mentalnya berserabut.Fikirannya kacau.Dia cuba bertahan,namun,setelah sebulan melaluinya,ianya tidak tertahan lagi.
"Kasim tak boleh ikut.Maaf.Kasim tak sanggup lagi ayah.Kasim tak sanggup." luah Kasim Malik satu pagi kepada ayahnya.
"Ha.Jangan nak buat perangai.Apahal tak nak pergi?" soal ayah Kasim Malik sambil memakai kasut.Bersedia untuk bergerak.
"Ayah,bila Kasim buat benda tu,mereka semua menjerit sakit ayah.Kasim tak sanggup dengar jeritan mereka.Kasim tak sanggup lagi ayah." balas Kasim Malik serius.
"Masuk ni,dah 2 kali kau cakap benda sama.Merepek-repek.Banyak sangat tengok kartun kat TV.Jangan cakap benda pelik-pelik lagi.Nanti sia-sia je makan penampar aku.Sudah,dah lewat ni.Mari kita pergi." panjang bebel ayah Kasim Malik sambil naik ke atas motor.
Kasim Malik tiada pilihan.Selaku budak berumur 15 tahun,dia akur.
Sambil membonceng motor bersama ayahnya,Kasim Malik teringat satu madah dalam cerita Spiderman yang pernah ditontonnya tidak lama dulu.
"With great power comes great responsibility".
Kasim Malik menggenggam kemas ubat luka yang dibawanya secara sembunyi-sembunyi.Niatnya hanya satu,selepas menoreh pokok getah,dia akan merawat mana-mana pohon getah yang sedang meraung kesakitan.
Tiba-tiba Kasim Malik membayangkan beliau memakai kostum adiwira yang berlogo pokok getah.Tapi,memandangkan warna kostum yang dibayangkannya tidak menarik,Kasim Malik menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak setuju.
Semakin menghampiri kawasan kebun getah,bunyi jeritan kesakitan pohon getah yang sedang ditoreh semakin jelas kedengaran.Riuh rendah bunyinya.Mengikut pemerhatian Kasim Malik,pokok getah tua,tak menjerit sangat.Dah biasa kena toreh.Yang kuat menjerit,pokok getah muda.
Hati Kasim Malik berdebar-debar.
Tapak tangannya berpeluh.