Sudah 5 tahun dan 4 bulan masa berlalu sejak majlis konvokesyen aku di Melaka.Tarikhnya,dari 3- 5 Ogos 2007 tak silap aku.Boleh tahan lama jugak nak tunggu memandangkan aku habis belajar pada November 2006.
Bapak aku ambil keputusan, untuk tidak hadir ke majlis konvo aku di Melaka kerana ada hal penting yang perlu diselesaikan di rumah.Hal yang sangat-sangat penting.Hanya mak,kakak, abang ipar dan anak buah aku sahaja yang dapat datang.Sedih memang sedih.Sampai hari best, orang penting tak dapat datang pulak.
Macam mana aku nak bergambar konvo sambil buat mulut itik dengan ceria kalau mai deddy tak datang? Ok la, hati terasa lega banyak bila mak aku cakap dia bangga tengok aku di atas pentas.
---------------------------------------------------------------------------
Pada hari Isnin lepas, sedang aku bergolek-golek manja di ruang tamu rumah di kampung, tiba-tiba bapak aku tanya satu soalan.
"Habis belajar dulu,tahun berapa?" dia tanya sambil berjalan masuk ke dalam biliknya.Elok dia keluar semula, aku jawab, tahun 2006.Konvo tahun 2007.Aku jadi hairan.Tadi tengah sembang topik lain, tiba-tiba je dia tukar topik.
Sambil berjalan ke arah aku, dia hulur satu kertas surat khabar.Besar.Surat khabar tu,bertarikh 6 0gos 2007.Hari Isnin.Tarikhnya sehari selepas majlis konvo aku tamat.Di dalam akhbar tersebut, tertulis nama tempat aku belajar dan disertai juga dengan senarai panjang nama-nama mereka yang menerima ijazah dan diploma dalam majlis tersebut.Nama ditulis dengan font yang kecil.Ye lah,nak muatkan semua yang ada.Ada dekat 100 baris jugak nama dalam akhbar tu rasanya.
"Tak ingat Jamil ambil kursus apa, tapi kena baca nama satu persatu.Baru jumpa." ujar bapak aku sambil duduk di sebelah.Dia tersenyum berseri.Pada masa tu juga,aku nampak nama aku,telah dipetakkan dengan pen biru kemas-kemas.Nama aku ada lebih kurang di baris yang ke-8 @ ke- 9 dari bawah.Main ratus-ratus nama jugak nak kena teliti baru jumpa nama aku.
Humm...5 tahun 4 bulan dia simpan akhbar tu elok-elok.Lipat kemas-kemas.Pertama kali dia tunjuk kat aku.Biarpun tak dapat datang ke majlis aku dahulu,rupa-rupanya dia dengan senyap-senyap ikuti majlis aku dari jauh.
Bersilat jugak lah aku nak menahan aku punya manly tears versi terharu ni dari keluar depan-depan dia.
Sikittt lagi nak keluar.
Sikiitt lagi.