Friday, June 2, 2017

Tok Moh Mail

Malam tu, cuacanya dingin sekali. Ya, hanya sekali. Angin sepoi-sepoi bahasa. Unggas-unggas yang telah selesai makan sepanjang hari mulai kekenyangan dan mula berkira-kira untuk mengawan lantas mengeluarkan pelbagai runut-runut bunyi yang tidak difahami oleh manusia.

Salah seorang manusia tersebut adalah Kiah Top. Di dalam kesamaran malam, kelihatan Kiah Top sedang terkedek-kedek berjalan menuju ke satu tempat. Tempat yang ditujunya tidak lain dan tidak bukan adalah rumah Tok Moh Mail. 

Siapa tidak kenal Kiah Top. Janda yang baru dua tahun kehilangan suami. Mukanya boleh dikatakan kacukan antara Neelofa dan Fazura. Meskipun sudah agak berusia, gaya dan tingkah lakunya persis gadis belasan tahun. Potongan badannya sahaja sudah mampu membuatkan jantung para lelaki di kampung berkenaan berkocak tidak tentu hala. Tidak hanya jantung lelaki, jantung para wanita di kampung berkenaan jugak berkocak tidak tentu hala lebih kepada risau mengenangkan perangai suami masing-masing yang gatal dan sibuk memandang Kiah Top. 

Pernah jugak Halim Pisang dan Man Puyu menjadi huru-hara apabila Kiah Top melintasi mereka berdua sambil melepaskan senyuman. Senyuman yang menyebabkan mereka berdua bertekak tentang siapa yang lebih berhak terhadap senyuman tersebut. Mereka berdua hanya dapat ditenangkan apabila Tok Ketua melintasi mereka sambil membuat pesanan tiga sikat pisang dan sekilo ikan puyu dari mereka berdua. Diplomasi Tok Ketua memang ‘champion’. Sebab itu Tok Ketua mampu berbini-3 dan menjadi……..Tok Ketua. Semestinya.

Begitulah hebatnya penangan Kiah Top di dalam kehidupan penduduk kampungnya atau lebih tepat lagi, penduduk lelaki di kampungnya.

Perjalanan 10 minit Kiah Top menuju ke rumah Tok Moh Mail akhirnya tiba ke penghujungnya. Kiah Top tiba di tangga rumah Tok Moh Mail. Tok Moh Mail yang berusia 54 tahun adalah senior sekolah kepada Kiah Top. Masa Tok Moh Mail darjah 6, Kiah Top baru darjah 3. Pernah jugak Tok Moh Mail mengorat Kiah Top pada masa zaman remajanya. Namun, satu kejadian  sadis yang berlaku pada zaman remajanya telah menyebabkan Tok Moh Mail trauma dah terus putus asa untuk cuba mengorat Kiah Top. Nantilah, aku akan ceritakannya di lain hari.

Assalamualaikummm!” lanjut Kiah Top bagi salam. Kurang dari satu saat, kepala Tok Moh Mail muncul di tingkap rumahnya. Pantang dengar suara Kiah Top, otot-otot badan Tok Moh terus memberikan kerjasama dan tindakbalas yang paling optimum.

Waalaikummussalam. Ha,kenapa Kiah?” soal Tok Moh Mail berpura-pura maskulin walaupun dalam hatinya mula menggedik gembira. Pintu dan tingkap rumahnya dibiarkan terbuka luas-luas untuk mengelakkan fitnah jika didatangi pesakit perempuan. Selalunya, rumahnya akan didatangi orang ramai selepas waktu Isya’.

Nak menengok benda yang hilang.” Jawab Kiah Top ringkas. Itulah antara kelebihan Tok Moh Mail. Selalunya, dengan izin tuhan, dia boleh “nampak” di mana tersoroknya barang-barang yang hilang. Kaedah yang digunakannya adalah dengan menggunakan balang kaca yang diisi air. Segala apa yang ingin dilihatnya akan muncul di dalam balang air tersebut. Pernah juga cucu Tok Moh Mail, si Jeman, mencadangkan agar dia menggantikan balang air dengan TV nipis. Lebih jelas katanya. Berbirat jugak cucunya tu kena rotan dengarnya. Garang.

Minggu sebelumnya,  Tok Moh Mail berjaya cari telefon pintar Sali Keli yang tak berapa nak pintar sangat, yang tercicir di tepi jalan. Itu semua disebabkan Tok Moh Mail sempat berguru dengan cucunya tentang cara-cara mengesan telefon pintar yang hilang dengan menggunakan GPS.

* Bunyi unggas-unggas semakin galak *

Balang kaca sudah berada di hadapan Tok Moh Mail. Kiah Top pula sudah duduk bersimpuh di hadapannya. Sekali-sekala, telan air liur juga Tok Moh Mail dibuatnya jika memandang Kiah Top. Menduda selama 10 tahun bukanlah satu tempoh yang pendek bagi Tok Moh Mail.

Sambil mengisi air di dalam balang kaca, Tok Moh Mail mengamalkan beberapa petua yang dipelajarinya. Antaranya, hatinya perlu tenang, jangan memandang kepada orang di hadapannya dan yang paling penting, kena bertawakkal kepada Allah S.W.T

Ha, apa menda yang awak nak cari tu Kiah?” soal Tok Moh Mail sambil matanya masih memandang ke arah balang kaca berisi air di hadapannya. Matanya tak berkelip. Fokus betul. Bersedia memberikan khidmat yang terbaik kepada mereka yang memerlukan.

Cinta saya kepada awak yang pernah hilang” balas Kiah Top ringkas.












Balang kaca Tok Moh Mail pecah tiga.

0 comments: