Tuesday, June 13, 2017

HapaCrita TIME MACHINE 15 - Rombongan Sekolah

Lokasi: Pantai Timur Malaysia
Acara: Rombongan Sekolah Rendah Kanak-Kanak Genius
Tahun: 1996


Aku buka mata aku perlahan-lahan dari lena yang panjang. Lepas bas berenti solat subuh tadi, aku terus bantai tidur semula. Jauh jugak perjalanan dari Kedah ke Terengganu. Dah le masa dalam perjalanan terserempak pulak dengan Gajah di tengah jalan. Bas pun kena berenti beri laluan. Dah selesai bagi laluan kepada gajah-gajah tadi, bas pun bergerak laju menyusuri jalan yang berliku dan penuh dengan onak dan duri. Ah, tak payah nak dramatik sangat Jamil. Behave please.

Aku pandang ke arah luar tingkap bas. Kelihatan sekumpulan gadis-gadis cantik sedang melambai-lambai ke arah bas yang aku naiki. Melihat gadis-gadis cantik di luar bas, aku yakin bas sudah tiba di pantai timur. Orang kata, gadis-gadis pantai timur cantik-cantik orangnya. Mereka terus melambai-lambaikan tangan mereka ke arah bas yang aku naiki, atau, lebih tepat, melambai tangan ke arah aku. 

Aku membalas lambaian mereka semua dengan senyuman paling manis. Mereka terus histeria kegembiraan. Bas yang aku naiki terus meninggalkan mereka yang sedang histeria kegembiraan di belakang. Perjalanan diteruskan. 

Aku capai beg galas di hadapan aku. Selain Coki-Coki dan coklat bola, aku ada bawa walkman. Aku selongkar beg aku mencari tape kaset yang sempat aku bawa.Ada tape yang lagu campur-campur. Ada yang lagu jiwang omputih macam Michael Learns To Rock dan Scorpion. Lagu yang berentak laju-laju pun ada. Dangdut? Dangdut tak ada. Apa barang dengar dangdut guna tape kaset. Tengok video tape (VHS) lah baru best. Boleh tengok video penyanyi dia menari sekali. 

Gatal.

Aku capai satu tape kaset secara rawak dan masukkan ke dalam walkman aku. Aku tekan butang play. Okay, lagu SLAM bertajuk Sendiri sedang dimainkan. Bas bergerak tenang melintasi sebuah jambatan yang panjang. Lagu pula berentak perlahan. Aku melayan pemandangan di luar tingkap bas di sebelah kiri aku. Aku pandang pula ke kanan. Aku terkejut.

Membe aku yang duduk di sebelah sudah hilang. Yang ada adalah ustazah yang mengajar aku. Ustazah cun dari Terengganu yang masih bujang. Biarlah aku namakan dia sebagai Ustazah Neelofa. Sebab muka dia lebih kurang macam tu lah. Aku rasa, lepas subuh tadi dia tukar kerusi dengan kawan aku rasanya masa aku tidur. Motif? Mungkin senang dia nak turun nanti sebab dia cuma tumpang balik ke Terengganu. Kerusi aku pulak, di depan. Mungkin.

"Dengar lagu apa tu?" - tegurnya. Aku dah jadi tak tentu arah namun masih tenang mengawal tingkah laku. 
"Nak dengar?" - spontan aku balas. Jahanam. Mulut aku memang jenis tak reti nak bekerjasama dengan otak. Kurang-kurang pun fikirlah dulu nak cakap apa. 

Ustazah tadi ambil headphone yang aku sedang guna, dan meletakkan di kepalanya dengan penuh lemah lembut. Kemudian, dia pandang ke arah aku, sambil tersenyum manis.







Jantung aku gugur ke lantai. 

2 comments:

W. Hidney said...

ada sambungan tak?

StingRay said...

Panjanggg ceritanya =p