Saturday, August 12, 2017

Sembilan Tahun

Blog ini sudah masuk darjah 3!

(^_^)v

Tuesday, June 13, 2017

HapaCrita TIME MACHINE 15 - Rombongan Sekolah

Lokasi: Pantai Timur Malaysia
Acara: Rombongan Sekolah Rendah Kanak-Kanak Genius
Tahun: 1996


Aku buka mata aku perlahan-lahan dari lena yang panjang. Lepas bas berenti solat subuh tadi, aku terus bantai tidur semula. Jauh jugak perjalanan dari Kedah ke Terengganu. Dah le masa dalam perjalanan terserempak pulak dengan Gajah di tengah jalan. Bas pun kena berenti beri laluan. Dah selesai bagi laluan kepada gajah-gajah tadi, bas pun bergerak laju menyusuri jalan yang berliku dan penuh dengan onak dan duri. Ah, tak payah nak dramatik sangat Jamil. Behave please.

Aku pandang ke arah luar tingkap bas. Kelihatan sekumpulan gadis-gadis cantik sedang melambai-lambai ke arah bas yang aku naiki. Melihat gadis-gadis cantik di luar bas, aku yakin bas sudah tiba di pantai timur. Orang kata, gadis-gadis pantai timur cantik-cantik orangnya. Mereka terus melambai-lambaikan tangan mereka ke arah bas yang aku naiki, atau, lebih tepat, melambai tangan ke arah aku. 

Aku membalas lambaian mereka semua dengan senyuman paling manis. Mereka terus histeria kegembiraan. Bas yang aku naiki terus meninggalkan mereka yang sedang histeria kegembiraan di belakang. Perjalanan diteruskan. 

Aku capai beg galas di hadapan aku. Selain Coki-Coki dan coklat bola, aku ada bawa walkman. Aku selongkar beg aku mencari tape kaset yang sempat aku bawa.Ada tape yang lagu campur-campur. Ada yang lagu jiwang omputih macam Michael Learns To Rock dan Scorpion. Lagu yang berentak laju-laju pun ada. Dangdut? Dangdut tak ada. Apa barang dengar dangdut guna tape kaset. Tengok video tape (VHS) lah baru best. Boleh tengok video penyanyi dia menari sekali. 

Gatal.

Aku capai satu tape kaset secara rawak dan masukkan ke dalam walkman aku. Aku tekan butang play. Okay, lagu SLAM bertajuk Sendiri sedang dimainkan. Bas bergerak tenang melintasi sebuah jambatan yang panjang. Lagu pula berentak perlahan. Aku melayan pemandangan di luar tingkap bas di sebelah kiri aku. Aku pandang pula ke kanan. Aku terkejut.

Membe aku yang duduk di sebelah sudah hilang. Yang ada adalah ustazah yang mengajar aku. Ustazah cun dari Terengganu yang masih bujang. Biarlah aku namakan dia sebagai Ustazah Neelofa. Sebab muka dia lebih kurang macam tu lah. Aku rasa, lepas subuh tadi dia tukar kerusi dengan kawan aku rasanya masa aku tidur. Motif? Mungkin senang dia nak turun nanti sebab dia cuma tumpang balik ke Terengganu. Kerusi aku pulak, di depan. Mungkin.

"Dengar lagu apa tu?" - tegurnya. Aku dah jadi tak tentu arah namun masih tenang mengawal tingkah laku. 
"Nak dengar?" - spontan aku balas. Jahanam. Mulut aku memang jenis tak reti nak bekerjasama dengan otak. Kurang-kurang pun fikirlah dulu nak cakap apa. 

Ustazah tadi ambil headphone yang aku sedang guna, dan meletakkan di kepalanya dengan penuh lemah lembut. Kemudian, dia pandang ke arah aku, sambil tersenyum manis.







Jantung aku gugur ke lantai. 

Monday, June 12, 2017

Jamil dan Tesco

Aku menolak troli perlahan-lahan. Banyak betul barang yang tersusun di rak di kiri dan kanan aku. Aku pilih barang yang perlu sahaja. Alah, sembang nak kencang. Kalau tengok dalam troli, banyak juga barang yang tak perlu sebenarnya.

Aku sambung berjalan-jalan sambil melayan kepala aku. Macam-macam aku fikirkan. Tengah sedap berfikir dan mengelamun, aku tiba di bahagian makanan mentah. Banyak betul ikan, ayam, udang, sotong kurita dan hantu air di hadapan aku. 

"Di sini la aku nampak awek cun aritu. Kalau jumpa lagi, memang dia jodoh aku lah" tiba-tiba ada satu bisikan suara di kepala aku. Bisikan yang lebih kepada bisikan setan. Maka dengan secara tiba-tiba juga aku teringat kejadian 2@3 hari sebelumnya di mana seorang makwe lawa berjalan di hadapan aku sambil membeli beberapa barang keperluan. 

* Babak mengimbas kenangan tamat *

Aku tersenyum. Merepek betul punya bisikan. Kalau bab merapu, nombor satu! Aku sambung tolak troli menuju ke arah koleksi-koleksi ikan di hadapan aku. Ketika aku menghampiri kawasan menjual ikan tersebut, ada seorang makcik sedang leka memilih ikan. Laju betul tangannya memilih ikan yang segar bugar. Selesai memilih ikan, makcik tadi berlalu pergi laju-laju ke arah ayam pula. Lincah seperti helang.

Elok makcik tadi berlalu pergi, sekonyong-konyongnya, muncul lah awek lawa yang aku nampak 2@3 hari lepas, berdiri kemas di hadapan aku sambil sibuk memilih ikan yang segar bugar. Dia berada di belakang makcik tadi rupanya. Dia muncul kurang dari 5 saat selepas bisikan nakal tadi.








Setan punya game ni tuan-tuan, memang A!

Tuesday, June 6, 2017

Jamil dan Laundry - 1

Aku duduk menghilangkan penat setelah mencuci filter pada mesin pengering. Sabun dah diisi, pewangi pun sudah diisi. Gas untuk mesin pengering masih banyak. Syiling pun sudah diisi semula di dalam mesin penukar syiling. Sampah pun sudah disapu. Senang cerita, semuanya sudah tip-top. 

Sudah hampir setahun laundry 24 jam ini berfungsi. Aku duduk mengenangkan pengalaman bermula dari kosong. Walaupun ianya hanya sambilan, banyak jugak pengalaman yang aku belajar. Bermula dari cari tapak kedai, buat anggaran jualan, set pemasangan kedai, kerja-kerja teknikal di belakang sampailah kepada buka sendiri mesin yang rosak berpandukan dokumen yang diambil dari internet sebab juruteknik mesin tidak dapat datang segera, semua aku dah rasa. Belum lagi termasuk pelanggan call tengah-tengah malam @ awal pagi jika ada masalah. Baru aku faham macam mana perasaan doktor yang on-call.

Kadang-kadang bila penat mengadap kod-kod aturcara di dalam laptop, aktiviti di laundry sedikit sebanyak boleh melegakan otak aku. Lega dari penat otak berfikir. Ye la, boleh borak-borak dengan pelanggan, usik-usik budak nakal, garu-garu dagu kucing yang singgah dan mengkarate mesin jika mesin cuba memberikan masalah. Cuma, jika ada pelanggan bawa baju yang telah lama direndam dan berbau busuk, otak aku akan automatik jadi penat semula. Boleh hilang selera makan wooooo!

Tengah sedap duduk melayan kipas dan melihat mesin yang berfungsi di hadapan aku, tiba-tiba ada seorang brader berdiri di sebelah aku. Aku pandang dia, dia pandang aku. Aku bagi senyuman.

"Oh, di sini cuci RM4.50 ya? Kedai di sana RM4. Di sini mahal." ujar beliau.
"Di sana RM4 untuk 10 kilo encik, di sini RM4.50 untuk 13 kilo." balas aku masih tersenyum.

"Alah, kalau masukkan baju pun, bukannya sampai 13 kilo" balas beliau sambil cekak pinggang.











"AAAAAAAAAAAAAAAAAAAAA......" jerit brader tadi bila aku lempar dia jauh-jauh. 

Friday, June 2, 2017

Tok Moh Mail

Malam tu, cuacanya dingin sekali. Ya, hanya sekali. Angin sepoi-sepoi bahasa. Unggas-unggas yang telah selesai makan sepanjang hari mulai kekenyangan dan mula berkira-kira untuk mengawan lantas mengeluarkan pelbagai runut-runut bunyi yang tidak difahami oleh manusia.

Salah seorang manusia tersebut adalah Kiah Top. Di dalam kesamaran malam, kelihatan Kiah Top sedang terkedek-kedek berjalan menuju ke satu tempat. Tempat yang ditujunya tidak lain dan tidak bukan adalah rumah Tok Moh Mail. 

Siapa tidak kenal Kiah Top. Janda yang baru dua tahun kehilangan suami. Mukanya boleh dikatakan kacukan antara Neelofa dan Fazura. Meskipun sudah agak berusia, gaya dan tingkah lakunya persis gadis belasan tahun. Potongan badannya sahaja sudah mampu membuatkan jantung para lelaki di kampung berkenaan berkocak tidak tentu hala. Tidak hanya jantung lelaki, jantung para wanita di kampung berkenaan jugak berkocak tidak tentu hala lebih kepada risau mengenangkan perangai suami masing-masing yang gatal dan sibuk memandang Kiah Top. 

Pernah jugak Halim Pisang dan Man Puyu menjadi huru-hara apabila Kiah Top melintasi mereka berdua sambil melepaskan senyuman. Senyuman yang menyebabkan mereka berdua bertekak tentang siapa yang lebih berhak terhadap senyuman tersebut. Mereka berdua hanya dapat ditenangkan apabila Tok Ketua melintasi mereka sambil membuat pesanan tiga sikat pisang dan sekilo ikan puyu dari mereka berdua. Diplomasi Tok Ketua memang ‘champion’. Sebab itu Tok Ketua mampu berbini-3 dan menjadi……..Tok Ketua. Semestinya.

Begitulah hebatnya penangan Kiah Top di dalam kehidupan penduduk kampungnya atau lebih tepat lagi, penduduk lelaki di kampungnya.

Perjalanan 10 minit Kiah Top menuju ke rumah Tok Moh Mail akhirnya tiba ke penghujungnya. Kiah Top tiba di tangga rumah Tok Moh Mail. Tok Moh Mail yang berusia 54 tahun adalah senior sekolah kepada Kiah Top. Masa Tok Moh Mail darjah 6, Kiah Top baru darjah 3. Pernah jugak Tok Moh Mail mengorat Kiah Top pada masa zaman remajanya. Namun, satu kejadian  sadis yang berlaku pada zaman remajanya telah menyebabkan Tok Moh Mail trauma dah terus putus asa untuk cuba mengorat Kiah Top. Nantilah, aku akan ceritakannya di lain hari.

Assalamualaikummm!” lanjut Kiah Top bagi salam. Kurang dari satu saat, kepala Tok Moh Mail muncul di tingkap rumahnya. Pantang dengar suara Kiah Top, otot-otot badan Tok Moh terus memberikan kerjasama dan tindakbalas yang paling optimum.

Waalaikummussalam. Ha,kenapa Kiah?” soal Tok Moh Mail berpura-pura maskulin walaupun dalam hatinya mula menggedik gembira. Pintu dan tingkap rumahnya dibiarkan terbuka luas-luas untuk mengelakkan fitnah jika didatangi pesakit perempuan. Selalunya, rumahnya akan didatangi orang ramai selepas waktu Isya’.

Nak menengok benda yang hilang.” Jawab Kiah Top ringkas. Itulah antara kelebihan Tok Moh Mail. Selalunya, dengan izin tuhan, dia boleh “nampak” di mana tersoroknya barang-barang yang hilang. Kaedah yang digunakannya adalah dengan menggunakan balang kaca yang diisi air. Segala apa yang ingin dilihatnya akan muncul di dalam balang air tersebut. Pernah juga cucu Tok Moh Mail, si Jeman, mencadangkan agar dia menggantikan balang air dengan TV nipis. Lebih jelas katanya. Berbirat jugak cucunya tu kena rotan dengarnya. Garang.

Minggu sebelumnya,  Tok Moh Mail berjaya cari telefon pintar Sali Keli yang tak berapa nak pintar sangat, yang tercicir di tepi jalan. Itu semua disebabkan Tok Moh Mail sempat berguru dengan cucunya tentang cara-cara mengesan telefon pintar yang hilang dengan menggunakan GPS.

* Bunyi unggas-unggas semakin galak *

Balang kaca sudah berada di hadapan Tok Moh Mail. Kiah Top pula sudah duduk bersimpuh di hadapannya. Sekali-sekala, telan air liur juga Tok Moh Mail dibuatnya jika memandang Kiah Top. Menduda selama 10 tahun bukanlah satu tempoh yang pendek bagi Tok Moh Mail.

Sambil mengisi air di dalam balang kaca, Tok Moh Mail mengamalkan beberapa petua yang dipelajarinya. Antaranya, hatinya perlu tenang, jangan memandang kepada orang di hadapannya dan yang paling penting, kena bertawakkal kepada Allah S.W.T

Ha, apa menda yang awak nak cari tu Kiah?” soal Tok Moh Mail sambil matanya masih memandang ke arah balang kaca berisi air di hadapannya. Matanya tak berkelip. Fokus betul. Bersedia memberikan khidmat yang terbaik kepada mereka yang memerlukan.

Cinta saya kepada awak yang pernah hilang” balas Kiah Top ringkas.












Balang kaca Tok Moh Mail pecah tiga.

Wednesday, April 26, 2017

Jamil 2017

Selesai mandi, aku berdiri di hadapan cermin. Aku pandang-pandang mata, dahi, rambut, hidung dan mulut aku. Aku perhatikan betul-betul setiap inci wajah aku. Wajah yang aku usung ke sana ke mari selama 33 tahun.

Tiba-tiba di sebalik pipi, ada lelehan bewarna putih. Pelik betul. Mandi tadi aku dah sental segala menda dengan penuh kasih sayang.

Aku cuak. Aku kaget. Namun memikirkan aku masih berada di Malaysia dan aku tak nampak sebarang kelibat tentera Korea Utara berkawad di luar rumah, aku jadi tenang semula.

Aku sentuh cecair putih tadi dengan jejari mulus aku. Dengan penuh semangat kuriyusiti, aku perhatikan cecair tadi di jari aku. Nampak putih, agak cair. Aku tiba-tiba berasa amat ingin tahu. Aku mula menghidu cecair tadi. Aku hidu perlahan-lahan. Persis anjing polis yang sedang mencari penjenayah. Mata aku membulat. Aku kenal bau ini. Tanpa membuang masa, aku rasa dengan lidah aku.











Rasa santan.

Betul lah orang cakap, makin tua, makin banyak santannya.