Sunday, April 19, 2026

Rahim Rempit

Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Kesejukan malam mula terasa. Kedengaran enjin motor berbunyi meriah. Sekumpulan anak muda kelihatan seronok menyusun posisi di atas jalan yang lengang. Jalan yang baru disiapkan dan masih belum dibuka kepada orang ramai.

Di antara ramai-ramai anak muda tersebut, kelihatan Rahim berada di tepi sekali. Selaku juara lumba motosikal di daerahnya, beliau amat gemar ambil posisi di bahagian tepi. Kalau duduk di tengah-tengah nanti, risau kena himpit katanya.

Penonton semakin ramai yang tiba. Mereka duduk tenang perhatikan pelumba-pelumba yang sedang bersedia untuk berlumba. Ada pelumba yang tengah hisap rokok. Ada yang sedang pulas minyak sambil mendengar bunyi enjin untuk pastikan jentera berada di tahap prestasi yang diinginkan. Ada yang sibuk mengorat awek yang menonton. Namun Rahim fokus memandang jalan di hadapan. Selaku juara, dia memang tidak ambil mudah.


Akhirnya masa telah tiba. Jenny berjalan ayu ke tepi jalan membawa sehelai jaket. Selaku gadis paling cantik, dia dipilih untuk mengibarkan jaket sebagai bendera untuk pelumba berlepas. Nak bagi naik semangat pelumba sikit katanya. 

Enjin motor semakin kuat berbunyi. Semua pelumba fokus memandang ke hadapan. Rahim sekali sekala memandang ke arah Jenny. Geram pulak dia menengok Jenny. Gadis cantik dari Olak Lempit. Nama sebenarnya adalah Jamsarina. Badan macam gitar. Muka macam Intan Ladyana campur Neelofa. Belajar akaun di kolej swasta. Suka makan buah sawa. Memang lawa. Wawawa. 

Jenny mengangkat jaket tinggi-tinggi. Pelumba bersedia untuk berlepas. Enjin semakin bingit.

Tiba-tiba ada sebuah van lalu di bahu jalan di sebelah kiri. Bersusah payah van tersebut lalu di atas tanah di tepi jalan. Bukan van polis. Pintu van dibuka. Semua pelumba terdiam memerhatikan van tersebut termasuklah Jenny. Tangannya masih diangkat ke atas.

Pintu sisi van dibuka. Kelihatan tiga orang yang kelihatan lemah keluar dan duduk di atas kerusi healing bewarna hitam yang dibawa dari dalam van tadi. Pada masa yang sama pemandu van dan seorang lagi kelihatan tersengih-sengih keluar dari van dan terus menuju ke belakang van. Pintu bonet belakang van dibuka luas.

Pemandu tadi, dibantu oleh seorang lagi penumpang van tersebut, menarik keluar keranda dan meletakkanya di bahu jalan. Di sisi van tadi, jelas tertulis "Van Jenazah".

"Ha, mujur sempat sampai. Nanti kalau ada kemalangan, senang. Kami dah bersedia bawa jenazah. Yang tiga orang duduk atas kerusi ni pulak, tengah tunggu penderma organ. Lagi ramai tergolek, lagi bagus. Ha, yang lagi tiga orang atas motor di belakang tu, tak nak join berlumba ke? Takkan 5 orang je yang berlumba." laung pemandu van tadi kepada para pelumba yang sedang bersedia untuk berlumba. 

"Acik nak buah pinggang tau. Ha cepat la sikit berlumba tu. Tak sabar dah ni nak dapat organ baru." ujar makcik yang duduk di atas kerusi healing. Antara dengar dan tak dengar suaranya. Lemah. 

"Saya nak hati. Lagi muda lagi bagus." bunyi suara dari kerusi kedua. 

"Akak nak jantung. Kalau boleh, yang tak merokok lah." individu ketiga tak nak kalah. Nak tempah jugak.

Meriah ketiga-tiga orang tadi buat tempahan. Dah macam nak membeli organ lembu di kedai menjual daging sehari sebelum hari raya. 

Pemandu van bersandar tenang di tepi van jenazah sambil silang kaki. 









Rahim telan air liur. 

Telurnya perlahan-lahan masuk ke dalam dan bertukar menjadi rahim. 


Thursday, April 16, 2026

Zam Zariman

Zam Zariman memegang-megang bibirnya sendiri. Ada jerawat baru tumbuh. Merah menyala. Sambil menggosok-gosok jerawat, dia berjalan ke arah kerusi dan meja di tepi jalan. Lokasi tersebut tidak jauh. Hanya 15 meter dari pintu pagar rumahnya. Di situlah dia dan kawan-kawan satu lorong di taman tersebut berbual kosong pada waktu malam. 

Di meja tersebut, kelihatan Zamri dan Man sedang rancak berbual. Jam sudah menunjukkan pukul 9:30 malam. Waktu yang selesa untuk berborak. Makan malam sudah. Waktu isya pun sudah. 

Zam Zariman tiba di meja dan memberikan salam sambil duduk. Bibirnya rasa berdenyut-denyut. Sakit betul penangan jerawat. 

Zamri dan Man nampak Zam tidak ceria seperti selalu. 

"Apahal Zam, nampak macam tak kena je." - Zamri
"Tu lah, dari jauh diam je berjalan. Klau tak punya la riuh kau ni.." - Man
"Bibir aku sakit ni ha.." - balas Zam sambil menunjukkan jerawatnya. 


"Mak aih, merah menyala. Tiba-tiba kena jerawat kau ni. " - Zamri
"Aku tengok pun naik ngilu. Nak tegur pasal jerawat kau awal-awal tadi, segan pulak." - Man
"Ni bukan jerawat la. Aku kena mata kail" - Zam Zariman

Jawapan dari Zam Zariman membuatkan Zamri dan Man bulat mata. Setahu mereka, Zam Zariman memang handal memancing. Ikat perambut pun selamba je, pejam mata pun boleh buat. Macam mana boleh terkena mata kail. Hairan betul. 

"Biar betul kena mata kail." - Zamri
"Macam mana kau boleh kena?" - Man
"Petang semalam dekat simpang depan tu. Ada sorang budak perempuan ni. Dia duduk tepi jalan. Aku tak syak apa-apa. Elok sampai dekat je tiba-tiba terkena mata kail yang dia pegang. Menggelupur jugak la aku jadinya. Nasib baik aku jenis yang melawan. Aku lawan balik lepas tu aku terlepas. Aku tak tahu pulak dia tengah mancing pakwe tepi jalan. Kalau aku tak melawan, entah-entah malam ni aku dah bersanding dengan dia. " - panjang lebar Zam Zariman menerangkan kejadian yang tidak pernah berlaku pun. 









"Dajei....." - ringkas balas Zamri dan Man serentak. 

Sunday, April 5, 2026

Semalam yang hangat di Pulau Pinang

Aku meletakkan kereta di tepi jalan di belakang hospital besar Pulau Pinang. Kalau nak letak di tengah jalan pun boleh, cuma nanti orang marah lah. Aku tak suka buat orang marah, jadi aku parking di tepi jalan. Baik betul aku. 


Kan?


Ramai betul pengunjung hospital. Susah betul nak parking tadi. Semua tempat penuh. Aku cuba bayangkan betapa penatnya doktor dan petugas hospital melayan kerenah pesakit. 


Aku tinggalkan konflik tersebut di belakang. Sekarang ni tujuan utama aku adalah hendak solat jumaat. Nak pergi dengan kereta memang tak lah. Parking mesti penuh. Jadi aku bercadang untuk berjalan kaki sahaja. 


Jarak dari kereta aku ke masjid adalah kira-kira 685 kilometer. Itu kalau ke masjid Sultan Iskandar di Bandar Dato Onn, Johor Bahru lah. Jauh nak berjalan ke sana. Jadi aku menggunakan akal genius aku untuk berjalan kaki ke Masjid Jamek Shaik Eusoff, yg terletak kira-kira 220 meter sahaja dari kereta aku. Bijak betul aku. 


Kan?


Perjalanan diteruskan dengan tenang. Aku melintasi kedai gunting rambut, kedai makan, kedai jahit baju, kilang nuklear Iran, Nasi Royale Haji Lukman, melintas jalan dan akhirnya tiba di hadapan pintu masjid. 


Elok tiba di hadapan pintu masjid, ada 3 orang non muslim melintasi aku. Mereka pandang aku penuh kehairanan. Aku kekal tenang. Aku masuk ke dalam masjid. Brader motor yg baru parking motor, tengok aku tak berkelip. Brader yg lepak tempat parking motor, tengok aku jugak. Aku masuk ke tempat wudhuk, ambil wudhuk, ada orang pandang aku atas bawah. 


Takpe lah.  Bukan selalu orang awam boleh tengok Legolas pergi solat jumaat. 


Kan? 

Wednesday, April 1, 2026

Singapura melanggar todak

Aku masih kehairanan, apa le salah si Kangar ni dah buat sampai Alor Setar langgar dia. 




Saturday, March 28, 2026

Pelawat yang ke 1,000,000

Masih lagi berbaki 30,870 lawatan sebelum ianya mencecah 1,000,000. Entahlah bila dia nk cecah. Mungkin lagi 8 tahun? Koh keh koh keh.


Siapa yg menjadi pelawat ke- 1 juta, boleh la screenshot dan post komen di sini.


Hadiah comel akan diberikan sebagai tanda penghargaan. Jika berlaku ralat seperti counter menunjukkan 1,000,000 lebih dari seorang, maka yg paling awal komen akan dikira pemenang. 


Terima kasih kepada pembaca kerana sudi melawat Hapacrita. (^_^)


Oh ya, counter ni cuma boleh dilihat di dalam web version sahaja. Mobile version tak nampak. Programmer dia malas. :p


Boleh klik pada "view web version" di bawah button Home di bawah. 


Friday, March 27, 2026

Hapacrita di FB dan AI

 

Macam best je kalau dapat generate video dari cerita dalam blog ni. 
Buat masa ni, generate image je lah dulu untuk suka-suka. 

Okaylah, kalau ada masa, sis cuba. 

Aww.....

* Menggelenyar *









Monday, October 27, 2025

PS19

Cuaca pada hari tersebut sangat tenang. Langit terang benderang. Tiada sebarang awan. Panas betul. Bila cuaca panas macam ni, akal aku memang panjang sikit. Masa zaman budak-budak dulu,cuaca macam ni la sedap nak merayau dalam hutan, kayuh basikal laju-laju, merayau dalam kawasan sekolah dan aktiviti paling agung sekali adalah mandi sungai.

Aku hanya mampu tersenyum mengenangkan kembali kenangan berenang di dalam sungai. 

Aku masuk ke dalam rumah, buka peti ais, nampak ada buah anggur. Buah anggur yang tak sempat dimakan sebab beli banyak sangat. Ada anggur yang besar. Ada anggur yg kecil-kecil comel saiznya. Akal aku mula bercabang. Aku pegi ke rak kabinet, selongkar cari loyang buat kek

Setelah jumpa, aku tersenyum sendiri. 

Aku buka semula peti ais, ambil anggur tadi, basuh bersih-bersih. Dah bersih, aku keringkan dan letak dalam loyang tadi. Aku ambil penutup berupa seperti tudung saji berjaring dan tutup atas loyang tadi. Setelah tutup dengan kemas, aku ke luar rumah dan jemur di luar pagar. Bagi kena cahaya matahari. Ya, aku bercadang nak buat kismis sendiri. 

Sambil tengok anggur aku dijemur, aku memandang ke arah PS yang diletakkan di luar pagar. Di dalam pagar rumah, dah ada si Panda dan Optimus Prime. Nanti aku ceritakan pasal si Panda dan Optimus Prime. PS dan si Panda akan bergilir parking di luar pagar rumah. 


Melihat aku memandangnya dengan tajam, PS jadi tak senang. 16 tahun bersama, PS cukup mengenali hati budi aku. Dia tahu, mesti aku ada benda yang nak dibuat dengannya. Aku tersenyum seorang sambil memandang PS. Idea baru datang menjelma.


"Jamil,,,JANGAN! JANGAN JAMIL!" marah PS dekat aku. 
"Please Jamil...don't do this to me!" PS mula membebel dalam bahasa Michael Jackson. 
"Benci!" bentak PS selepas aku selesai. 


Setelah beberapa hari di bawah panas terik, kismis aku akhirnya siap. Menggunakan PS, aku tak perlu risau habuk kotoran melekat, tak perlu risau tahi burung, tak perlu risau semut datang hurung dan pelbagai ancaman lain seperti anjing datang menjilat. 



Dalam PS dah bau kismis. Wangi. =)

Okay, lepas ni nak jemur buah lain pulak. 



Thursday, September 25, 2025

Kedai Gunting Rambut

Aku tiba di kedai gunting rambut. Tiada orang. Aku suka, sebab aku tak suka serabut-serabut. 


Elok aku masuk, tukang gunting rambut terus pelawa aku duduk di atas kerusi. Kalau dia pelawa duduk di atas pelamin yang siap ada pengantin perempuan, aku akan tolak dengan baik sebab aku cuma datang nak gunting rambut sahaja.  


Aku duduk dengan tenang. Tukang gunting rambut tadi buat persiapan. Dia tanya nak potong macam mana. Aku tunjuk gambar model di dalam poster di dalam kedai. Aku nak gaya rambut seperti beliau. Nipis tepi dan kemas. Tak boleh terlalu nipis, nanti kepala jadi macam buah nenas. Portion kena tepat ikut bentuk muka aku yang KANIUS (Kacak + Genius).


Kedai gunting rambut ni memang bagus. Kalau aku gunting rambut, dia memang akan buat dengan kemas. Boleh kata agak kerap aku datang ke kedai gunting ni. Walaupun tukang gunting rambut dia bertukar-tukar, tapi style gunting tetap sama. Macam dah ada S.O.P tertentu. Aku suka. Cuma dia tak ada servis urut-urut kepala selepas gunting. Kalau ada, memang sempurna lah. 

Tukang gunting rambut terus gunting rambut aku. Aku agak kagum, tak sampai 2 minit dah nampak kemas. 

"Pro betul. Baru sekejap dah nampak kemas." Puji aku kepada tukang gunting rambut. Tukang gunting rambut kelihatan terkemut-kemut menahan senyum dipuji. Hidung kembang kempis.

Setelah selesai gunting rambut, kepala aku diurut, diuli, dibelai dengan penuh enak. Hampir terlelap dibuatnya. 




Ada S.O.P baru rasanya. 

Wednesday, September 24, 2025

Rambut

"Roti canai pakcik ni dah siap ke belum?" - soal tokey kedai roti canai kepada anaknya sambil tunjuk ke arah aku. 

"Semua RM17 pakcik" - brader jual ayam goreng sambil serahkan ayam goreng kepada aku.


Tak boleh jadi ni. 


Dengan tenang, aku menuju ke arah kedai gunting rambut. Rambut digunting kemas. Selesai gunting rambut, aku balik mandi wangi-wangi. 


"Ye dik, nak apa?" - adik kaunter di kedai makan. 


Okay, aku dah kembali ke rupa bentuk asal yg muda, bergetah dan......melekit. 

Wednesday, January 1, 2025

1.1.2025

Assalamualaikum. 


WOW! Dah 2025. Semoga anda semua sihat dan ceria-ceria selalu. =)



Friday, May 24, 2024

Tersengih-sengih di tengah malam

 


Nak tiup kek, kek takde. Aku tiup bulu roma dah lah. 

24/5/24

Hahahapacrita...

Monday, January 1, 2024

01/01/2024

 Tahun ini, genap umur aku 40 tahun.


Ehe..hehe..ehehehehhhhee (gelak 80-an).

Saturday, October 14, 2023

Mata Macam Helang

Pagi tersebut angin bertiup dengan tenang. Angin sepoi-sepoi bahasa. Langit cerah. Aku duduk bersandar di kerusi dengan tenang. Aku tengok kiri, ada pakcik tua sedang duduk main hp. Aku tengok di kanan, ada makcik sedang duduk dengan anaknya. Aku tengok di hadapan, ada tempat jual air mineral. Aku tengok diri sendiri, aku nampak jejaka kacak. 


Fakta. 


Tiba-tiba kedengaran bunyi gegak gempita di langit. Aku teruja. Bunyi kapal jet pejuang. Kalau tak F-18 Hornet, mesti Hawk. Aku bangun dari kerusi dan terus memandang ke arah langit. Mata aku cuba mengimbas dari mana datangnya bunyi yang sayup-sayup tadi. Bunyi bergema dari segenap arah menyukarkan aku untuk mencari punca bunyi tersebut. 


Akhirnya aku berjaya mengesan pergerakan 2 kapal terbang jet tersebut. Dari jauh kelihatan 2 jet pejuang tersebut cuba untuk membuat pusingan dengan perlahan-lahan. Aku mengecilkan mata aku untuk memberikan fokus yang lebih jitu. Bunyi jet pejuang masih bergema di langit. Setelah memerhatikan selama beberapa saat, aku tersedar. 2 jet pejuang tersebut adalah 2 ekor burung helang yang sedang galak terbang berpusing-pusing di langit. 


Bladihel. 

Tuesday, November 1, 2022

AA - Aiman dan Atok

Cengkerik galak berbunyi di luar. Suasana di kampung sejuk betul. Aiman menutup TV di ruang tamu dan berlari anak ke bilik atoknya. Setiap hujung minggu, boleh dikatakan Aiman akan tidur rumah atok dan neneknya. 

Sebagai seorang budak yang berumur 9 tahun, dimanjakan atok dan nenek adalah ibarat syurga dunia. Jika ke kedai bersama atok, Aiman bebas untuk pilih apa sahaja cikedis yang dihajati. Atoknya tidak lokek berbelanja. 

Aiman melompat ke atas katil dengan manja. Neneknya sudah lama terlena. Atoknya baru hendak merebahkan badan. Tidur bersama atok dan nenek sudah menjadi kelaziman Aiman. Nak tidur seorang diri, Aiman tidak berani. Sepupu Aiman pernah bercerita, dia ternampak Power Rangers bertempur dengan hantu pontianak di belakang rumah atok Aiman. Walaupun Aiman tidak berapa nak percaya sangat, tapi dia takut juga kalau-kalau cerita tu betul. 

Jalan paling selamat, mestilah tidur bersama atok dan nenek.  

"Man, ambilkan stokin atok dalam laci solek tu. Sejuk pula malam ni." ujar Atok kepada Aiman. 

Selaku cucu paling handal, Aiman melompat dan terus mendapatkan stokin di dalam laci. Laci tersebut kosong, yang ada hanya sehelai stokin dan beberapa duit syiling sahaja. Aiman ambil stokin tersebut. Putih dan bersih stokinnya. Aiman menyeluk tangan ke dalam stokin sambil membuat aksi patung bercakap kepada atoknya. 

"Ish, dia main pulak stokin tu. Bagi dekat atok, tu stokin bekas atok guna tu." bebel atok kepada Aiman. 
"Wanginya stokin ni atok." ujar Aiman selepas menghidu sambil memberikan stokin kepada atoknya. 
"Dah, tidur, esok kena bangun subuh awal." bebel Atok kepada Aiman. Aiman masuk ke dalam selimut. 

Semasa di dalam selimut, kepala Aiman tidak berhenti berfikir. Ada satu benda yang tak kena pada fikirannya. Setelah dicongak sana sini, Aiman pun menyoal atoknya. 

"Atok, kenapa ada satu je stokin. Kaki atok sejuk sebelah je ke?" soal Aiman kepada atoknya yang baru selesai mengenakan stokin sambil berselimut. Sejuk betul nampaknya. 
"Oh, bukan kaki atok yang sejuk Man. Telur atok yang sejuk..." balas atoknya sambil tarik selimut dan terus pejam mata. 








Aiman trauma. 

Wednesday, October 12, 2022

Kamran Asman

Lagu cinta meleret berkumandang di corong radio kenderaan Kamran. Hari sudah lewat malam. Kalau tak kerana sibuk mengejar OT di kilang, mungkin waktu ini dia sudah berdengkur dengan riang-ria di rumah. Tiada sebiji kereta pun kelihatan pada waktu tersebut. Jalan lengang. 


Apabila tiba di sebuah selekoh, kereta Kamran tiba-tiba tersengguk-sengguk. Untuk mengelak bala bencana dilanggar kereta lain di tengah-tengah jalan, Kamran menggunakan saki baki kebijaksanaan yang ada di dalam kepala dengan memandu kenderaan beliau ke bahu jalan. 


Kamran syak minyak nak habis memandangkan meter minyak kereta beliau suka buat hal. Elok berhenti, enjin kereta beliau berasap. 


Kamran kaget. 


Kamran segera keluar dari kenderaan dan terus memeriksa enjin kenderaan beliau. Pelik, asap yang berkepul-kepul tadi tiba-tiba hilang. Enjin kereta hidup seperti biasa. 


Kamran kelu. 


"Hiiii hiiiiiiiiiiii......." tiba-tiba kedengaran bunyi hilaian ketawa dari seberang jalan. 


"Hiiiii hiiiiiiii hiiiiiiiiiiiii......." bunyi hilaian ketawa dari belakang Kamran pula. Cepat betul dia berpindah ke belakang Kamran. 


Kamran menoleh ke belakang. Kelihatan cik Pontianak sedang senyum menyeringai. Gigi taring dah keluar. Belum sempat Kamran nak baca apa-apa, cik pontianak sudah memegang kepala dan tangannya. Kamran pasrah, dia sudah kelu tak mampu berbuat apa-apa lagi. Cik Pontianak dengan rakus terus menerkam ke leher Kamran. 


Suasana sunyi. Mata Kamran berkelip-kelip. Mata cik Pontianak pun berkelip-kelip. 


"Ala bedebahnya kauuuu...gemuk sampai takde leher. Aku nak gigit pun susah. Buang masa I nyahhhh....." bebel cik Pontianak panjang lebar sambil terbang ke arah pokok besar di seberang jalan sambil kibas-kibas rambut. 










Kamran Asman duduk tersandar di tepi keretanya. Matanya bergenang sambil jari-jemarinya sibuk menaip di Google mencari tempat untuk mendaftar program kuruskan badan. 


Matanya berkaca-kaca.


Hatinya koyak.


Pedih. 

Monday, November 22, 2021

Jamil dan Sarapan Sang Juara

Jam sudah menunjukkan jam 8:30 pagi. Aku memandu tenang keluar dari sebuah sekolah rendah di dalam sebuah daerah di Kedah. Nampaknya, sistem kehadiran pengecaman wajah berjalan dengan lancar. Muka murid-murid habis kena scan menggunakan kamera bagi mencatat kehadiran. Aku harap, sistem ini dapat mengurangkan beban para guru untuk mengambil kedatangan dan mencatat suhu murid setiap pagi. 


Ketika dalam perjalanan, aku ternampak sebuah gerai. Aku ambil keputusan untuk bersarapan setelah memikirkan aku keluar awal pagi dari rumah tanpa sempat jamah apa-apa makanan. Aku parkir kereta dengan tenang. Pagi-pagi kita tak payah nak kalut sangat. Tenang is good


Aku masuk ke dalam kedai, scan mysejahtera, duduk dan membuat pesanan. 


"Teh O panas dan roti canai 2 keping. " ringkas pesan aku kepada adik yang mengambil pesanan. 


Setelah menunggu kira-kira 10 minit, Teh O panas dan roti canai yang berasap-asap sudah berada di hadapan aku. Muka aku yang selenge kelaparan tadi mula bertukar jadi muka madu. Manis dilihat dan dirasa. 


EH! EH! EH!


Aku hirup Teh O panas tadi. Rasa segar semula dibuatnya. Tanpa membuang masa, aku ambil roti canai, cicah dalam kuah dah terus masuk dalam mulut. 


Okay, tiba-tiba aku terus rasa tak puas hati. Rasa macam nak bangun ke arah brader yang tebar roti canai tadi. Tapi memandangkan aku betul-betul lapar, aku sabarkan diri aku. Aku cuba bertahan, kawal emosi dan makan sampai habis dulu. 


Setelah habis, aku bangun dan berjalan ke arah brader yang sedang tebar roti canai tadi. 


"Abang letak apa dalam kuah roti canai tadi bang?" aku soal brader roti canai tanpa kias-kias lagi.


"Kenapa ya encik?" balas brader roti canai tadi dalam nada cuak. Ada rasa bersalah di riak mukanya. Aku tak peduli. Benda-benda macam ni, kita kena tegas. Sebagai pengguna yang bayar, kita patut sampaikan apa yang kita rasa. 


"Sedap bang. Bagi saya lagi 2 keping roti canai. Makan ya." balas aku pantas. 









Brader roti canai tadi tahan senyum depan aku sampai keluar angin dari hidung beliau. 


Friday, September 17, 2021

Rahman Rahim

Suasana lewat petang tersebut sangat tenang. Fatah menggunakan petang tersebut dengan aktiviti mencuci kenderaan kesayangan beliau iaitu sebuah pacuan 4 roda yang gah dan sasa. Habis bahagian enjin dan badan kereta dicucinya supaya kekal berkilat. Sambil mencuci kereta, Fatah memasang lagu kegemarannya iaitu dangdut disko. Jiwanya tenang bila mendengar alunan muzik yang membolehkannya bergerak lancar ketika mencuci kenderaan beliau. 


Sesekali muzik tersebut mengenangkan zaman kegemilangan beliau ketika menari di dalam disko. Kalau John Travolta kelihatan hebat menari di dalam filem Saturday Night Fever, Fatah pun apa kurangnya. Dengar cerita, sebelum ke disko, Fatah akan menelan telur mentah untuk dapatkan tenaga menari.


Ketika Fatah hampir selesai mencuci kenderaan kesayangannya, tiba-tiba matanya terpandang ke arah Rahman Rahim. Jiran beliau di taman perumahan tersebut selang 2 buah rumah. Rahman Rahim kelihatan sedang membuka meja kecil di hadapan pintu pagar dan meletakkan beberapa sayur seperti timun, terung dan tomato di atas meja tersebut. 


Fatah kehairanan. Apa motif Rahman Rahim buat benda tersebut. Takkan dia nak menjual sayur. Kalau ikutkan jenis kereta yang dia guna, punya kaya si Rahman Rahim ni. Harta yang ada pun rasanya, makan tak habis. Nak sedekah dekat orang lalu lalang tak logik, sebab sikit betul sayur yang dia letak.



"Assalamualaikum bang Man...." laung Fatah kepada Rahman Rahim. Rahman Rahim buat-buat pandang kiri kanan macam terkejut. Menyampah betul.


"Waalaikummussalam...ya Fatah. Ada apa?" laung Rahman Rahim semula sambil melambai tangan. 


"Abang nak menjual ke, sedekah tu?" Fatah menyoal dari jauh sambil berjalan menuju ke arah Rahman Rahim. Penat juga nak jerit-jerit ni. 


"Abang nk menjual lah ni. Jual sayur. Teringat pasar malam. Rindu pulak suasana tu. Dah lama tak merasa sejak PKP ni." balas Rahman Rahim ketika Fatah tiba di sebelahnya. 


"Abang ada masalah kewangan ke, kalau ada cerita lah. Boleh saya tolong kalau saya mampu.." balas Fatah penuh prihatin. Selaku orang yang baru berpindah ke situ sebulan dua lepas, dia kena beramah mesra sikit. 


"Ish..takde lah. Macam abang cakap tadi. Rindu suasana pasar malam macam zaman dulu. Waktu nak magrib, ada orang jual sayur, jual ikan, jual kaset dengan CD sambil pasang muzik kuat-kuatttttttt bagi dengar satu pasar malammmm..."....balas Rahman Rahim sambil menyusun seketul dua terung yang berada di atas meja kecilnya. 









Fatah tersedar. Tanpa membuang masa, Fatah terus buat balik kuang laju-laju menuju ke kenderaaannya dan terus menutup muzik disko dangdut yang bunyinya boleh didengari satu taman perumahan. 


Rahman Rahim mengemaskan mejanya semula dengan tenang. 


Pasar malam dah ditutup. 

Tuesday, August 17, 2021

Jem Rambutan

Sekarang musim buah. Buah di kampung aku memang banyak. Buah langsat, dokong, manggis dan yang paling champion sekali buah rambutan. Dia punya banyak tu kalau nak kira, memang naik letih. Walaupun kita semua tahu, buah paling champion sebenarnya adalah buah yang tak boleh dilihat oleh lelaki, namun buah rambutan ini memang banyak gunanya. 


Antara kegunaan buah rambutan ini adalah dibuat jem. Disebabkan buah ini namanya rambutan, maka ia dipanggil jem rambutan. Jika ianya adalah buah fikiran, maka jem otak aku. Aku pernah juga cuba makan biji rambutan ini, tapi tak apa, aku cerita di post yang lain pasal kejadian tersebut. Hari ini kita cerita pasal jem rambutan dulu. Mohon jangan gelojoh. 


Selaku pemanjat pokok yang sensasi, aku mengenakan uniform yang berpatutan sebelum memanjat pokok. Aku tukar kain pelekat yang aku pakai kepada seluar pendek. Memanjat pokok buah di musim buah dengan memakai kain pelekat adalah "a big no no". Bukan apa, risau juga nanti ada kawan yang suka bergurau kasar dia pegi jolok dengan galah buah terlarang di dalam kain. Naya. 


Setelah mengambil satu guni rambutan, maka rambutan tadi terus diproses dengan bersih. Kulit dikupas, isi rambutan dibasuh dan dihiris serta bijinya dibuang.Yang tinggal cuma isi rambutan yang manis sahaja. Langkah seterusnya adalah mengisar isi rambutan tadi. Rambutan akan dikisar sehingga hancur. Ya, isi rambutan dikisar dengan menggunakan pengisar. Jangan buat gila pegi kunyah dengan mulut lepas tu kumpul dalam bekas. 


Baiklah. Setelah selesai mengisar, isi rambutan tadi dimasukkan ke dalam kawah. Isi rambutan tadi akan dikacau sehingga menjadi pekat. Okay, dengar macam mudah kan? Proses ini mengambil masa di antara 1 jam setengah sehingga 2 jam setengah. Isi rambutan ini perlu dikacau selalu untuk mengelakkannya hangus. Bila hangus, nanti jem akan rasa pahit dan tidak sedap. Kalau tak sedap, maka sia-sia usaha aku jadi beruk panjat ambil buah sebentar tadi. 


Apa, susah nak bayangkan? Baiklah, biar Jamil belanja gambar sedas dua bagi mereka yang tidak dapat membayangkannya. 





Dari rajah di atas, kita dapati isi rambutan yang telah hancur sedang berada di atas kawah. Pada awal macam ni memang mudah nak kacau sebab isi rambutan masih banyak air. Bila awal-awal kacau tu, rasa macam tengah kayuh sampan sambil dating dengan awek seberat 40kg. Muka pun madu je bila kayuh. Ringan. Tapi bila dah nak siap jadi jem tu, rasa macam tengah kayuh sampan sambil bawa bini dengan 8 orang anak sekaligus. Sebab dah pekat dan likat. Apa? Susah nak bayangkan lagi? Tak apa, biar Jamil belanja lagi gambar. Okay, gambar di bawah ketika jem hampir siap. Cuma kena kacau bagi dia gelap sedikit lagi. 





Sebelum dia jadi jem macam gambar di atas, fasa yang paling leceh sekali adalah fasa menggelegak. Waktu ni air mula nak kering dan gula perlu ditambah. Jadi, selaku seorang pakar, aku dengan tenang meletakkan pengacau dan mula memasukkan gula. Gula dimasukkan dengan kadar agak-agak. Setelah berpuas hati, aku nak ambil semula pengacau tadi. Memandangkan ianya tidak dikacau sebentar tadi, maka jus isi rambutan yang tengah pekat tadi mula menggelegak. Apabila menggelegak, akan ada percikan jus rambutan yang pekat dan panas terbang di sana sini. Jus rambutan yang pekat dan panas yarabbi tadi menggelegak dan terbang dengan cemerlang dan hinggap di atas pemukaan kaki aku yang mulus dan gebu. 







Harreyy.........aku shuffle macam nak gila depan kawah jem rambutan. 

Saturday, July 17, 2021

Jamil Merentas Daerah

Suasana di balai polis sangat tenang. Borang di depan aku, aku isi dengan penuh kusyuk. Risau juga kalau salah isi, abang polis di dalam tu nanti libas dengan gari pulak. Cuaca panas betul. Meja plastik tempat aku isi borang tadi, bergoyang-goyang. Sebab tu lah tulisan aku jadi tak cantik (alasan).


Selesai mengisi borang, aku pergi ke kaunter di mana terdapat 2 anggota polis sedang duduk membuat kerja masing-masing. Ada lelaki dan perempuan. Aku menuju ke arah polis lelaki. Aku serahkan borang beserta lampiran maklumat yang diperlukan. 


Selepas borang disemak, permohonan aku diluluskan. Anggota polis tadi bangun dan pergi membuat salinan di mesin pencetak di belakangnya. Selesai mencetak borang tadi, dia menyerahkan kepada aku. Aku menerima borang tadi sambil mengucapkan terima kasih.


Anggota polis tadi pandang ke arah aku sambil berkata.."Pandu elok-elok, jangan laju-laju".  


"Terima kasih..." - aku membalas dengan penuh sopan sambil muka senyum-senyum. Berhemah betul polis sorang ni. 


"Ya..ya...Ronda elok-elok. Jangan laju-laju" - sambung anggota polis tadi sambil menekan alat komunikasi yang aku baru perasan. 


Okay...ucapan penuh madu tadi bukan untuk aku. Dia tengah bercakap dengan anggota peronda yang sedang buat laporan rondaan rupanya. 





Benci...

Saturday, July 3, 2021

Musim PKP dan Musim Buah

Pagi tu, cuaca cerah dan cantik. Langit membiru dan terang. Setting cuaca macam ni yang paling aku suka sebab masa kecil-kecil dulu, cuaca macam ni lah aktiviti aku paling rancak. Mandi sungai, kayuh basikal laju-laju, main bola di padang, panjat pokok jambu batu belakang kantin sekolah dan lepak atas paip air besar tepi jalan sambil makan aiskrim. Lepak atas paip air ni best, sebab air bergerak dalam paip, jadi paip tersebut sejuk je sepanjang masa. Tambah pula dengan redup dari pokok besar di tepi, memang port terbaik untuk bergosip tentang cerita kartun. 


Okay, tamat imbauan masa silam. Kita berbalik kepada masa kini semula.


Aku berdiri sambil cekak pinggang. Mata aku memandang ke arah pokok rambutan di hadapan aku. Buah dah lebat, jadi kena ambil sebelum dia masak sangat. Aku tak suka rambutan yang masak sangat, manis terlampau ni tak sedap. Rambutan yang kuning-kuning sikit tu memang peberet aku. 


Kalau zaman kanak-kanak dulu panjat pokok memang champion. Bila orang tengok, boleh naik keliru antara beruk dengan manusia. Tapi bila umur dah 37 ni, tambah pulak dengan badan yang gemuk gedempol berkat makan mewah masa PKP, memanjat pokok adalah satu aktiviti yang agak mencabar. 


Leher semakin lama semakin hilang. Otot-otot kekar di badan semuanya dah lama letak jawatan aku rasa. Tak nampak sebarang kehadiran otot-otot kekar di badan. Ini sangatlah tidak membantu di dalam aktiviti memanjat pokok. Tapi semangat beruk di dalam diri masih mekar. Jadi aku cuba panjat juga sambil gagahkan diri. 


Bladihel, punya seksa nak panjat. Akhirnya aku berjaya naik ke dahan pertama. Bersedia untuk ke dahan yang seterusnya. Tangan aku memegang kemas dahan. Di belakang aku, ada parang panjang terselit di dalam seluar. Gaya dah macam komando nak sembelih musuh. Oh ye, aku bawa parang untuk menebang dahan di atas yang dah berat dengan buah. Nanti orang di bawah boleh lah ambil buah di dahan yang dah ditebang. Tak perlu nak bawa galah naik jolok sikit-sikit. Tebang terus je dahan. 


Dahan pertama telah ditebang. Dahan yang lebat dengan buah. Aku bersedia untuk ke dahan yang lebih tinggi. Aku selitkan semula parang aku di belakang. Peluh jantan mula mengalir. Aku susun langkah dengan teratur. Tangan kanan aku mula memegang dahan dan bersedia untuk naik lebih tinggi. 



"PAP! PAP! PAP!"

"PAP! PAP! PAP!"


Aku terdengar macam bunyi tepukan gemuruh dari sebelah kanan aku. Kelihatan ada seekor kelawar buah dan seekor tupai tengah duduk di dahan pokok memerhatikan aku sambil memberi tepukan. Apa gila kelawar berjaga waktu siang. Tak reti-reti nak tidur ke macam mana. 


"Gila ah, dia boleh panjat pokokkkkk..." jerit si tupai memerli.


"Aku ingat lembu gemuk mana naik pokok tadi. Bahahaha..." kelawar buah hina aku sedas dua sambil gelak.


Harrey...


Ok fine. Esok aku diet.