Friday, September 17, 2021

Rahman Rahim

Suasana lewat petang tersebut sangat tenang. Fatah menggunakan petang tersebut dengan aktiviti mencuci kenderaan kesayangan beliau iaitu sebuah pacuan 4 roda yang gah dan sasa. Habis bahagian enjin dan badan kereta dicucinya supaya kekal berkilat. Sambil mencuci kereta, Fatah memasang lagu kegemarannya iaitu dangdut disko. Jiwanya tenang bila mendengar alunan muzik yang membolehkannya bergerak lancar ketika mencuci kenderaan beliau. 


Sesekali muzik tersebut mengenangkan zaman kegemilangan beliau ketika menari di dalam disko. Kalau John Travolta kelihatan hebat menari di dalam filem Saturday Night Fever, Fatah pun apa kurangnya. Dengar cerita, sebelum ke disko, Fatah akan menelan telur mentah untuk dapatkan tenaga menari.


Ketika Fatah hampir selesai mencuci kenderaan kesayangannya, tiba-tiba matanya terpandang ke arah Rahman Rahim. Jiran beliau di taman perumahan tersebut selang 2 buah rumah. Rahman Rahim kelihatan sedang membuka meja kecil di hadapan pintu pagar dan meletakkan beberapa sayur seperti timun, terung dan tomato di atas meja tersebut. 


Fatah kehairanan. Apa motif Rahman Rahim buat benda tersebut. Takkan dia nak menjual sayur. Kalau ikutkan jenis kereta yang dia guna, punya kaya si Rahman Rahim ni. Harta yang ada pun rasanya, makan tak habis. Nak sedekah dekat orang lalu lalang tak logik, sebab sikit betul sayur yang dia letak.



"Assalamualaikum bang Man...." laung Fatah kepada Rahman Rahim. Rahman Rahim buat-buat pandang kiri kanan macam terkejut. Menyampah betul.


"Waalaikummussalam...ya Fatah. Ada apa?" laung Rahman Rahim semula sambil melambai tangan. 


"Abang nak menjual ke, sedekah tu?" Fatah menyoal dari jauh sambil berjalan menuju ke arah Rahman Rahim. Penat juga nak jerit-jerit ni. 


"Abang nk menjual lah ni. Jual sayur. Teringat pasar malam. Rindu pulak suasana tu. Dah lama tak merasa sejak PKP ni." balas Rahman Rahim ketika Fatah tiba di sebelahnya. 


"Abang ada masalah kewangan ke, kalau ada cerita lah. Boleh saya tolong kalau saya mampu.." balas Fatah penuh prihatin. Selaku orang yang baru berpindah ke situ sebulan dua lepas, dia kena beramah mesra sikit. 


"Ish..takde lah. Macam abang cakap tadi. Rindu suasana pasar malam macam zaman dulu. Waktu nak magrib, ada orang jual sayur, jual ikan, jual kaset dengan CD sambil pasang muzik kuat-kuatttttttt bagi dengar satu pasar malammmm..."....balas Rahman Rahim sambil menyusun seketul dua terung yang berada di atas meja kecilnya. 









Fatah tersedar. Tanpa membuang masa, Fatah terus buat balik kuang laju-laju menuju ke kenderaaannya dan terus menutup muzik disko dangdut yang bunyinya boleh didengari satu taman perumahan. 


Rahman Rahim mengemaskan mejanya semula dengan tenang. 


Pasar malam dah ditutup. 

2 comments:

Syazni Rahim said...

singgah baca cerita

StingRay said...

Sila-sila...jangan segan2. =)