Sunday, February 11, 2018

Jamil dan Jaket Kesayangan

Aku duduk dengan tenang di dalam tren menuju ke stesen Segambut. Jam sudah menunjukkan pukul 5:15 petang. Tujuan utama aku ke stesen Segambut adalah untuk bertemu dengan seorang programmer yang dah lama buat kerja dengan aku. Aku berjanji untuk bertemu dengan beliau pada jam 5:30 petang untuk menerangkan tugas bagi projek seterusnya. Ada lagi 15 minit. Kalau ikut kiraan, aku memang dah on-time sebab stesen Segambut adalah stesen yang seterusnya. Siap cepat 10 minit lagi. 

Ketika dalam perjalanan, ramai juga orang yang pakai seluar panjang kaki singkat yang aku jumpa. Tak pasti pula samada dia pinjam seluar adik, atau sebagai persediaan jika hari banjir. Mungkin juga untuk jaga kebersihan seluar sebab senang nak solat lepas masuk tandas, sebab takyah lipat kaki seluar masa dalam tandas. Mungkin juga aku sudah agak tua untuk memahami fesyen-fesyen sebegini. Lastik buku lali dengan getah cicak baru tau. 

Aku tinggalkan mereka yang memakai seluar panjang kaki singkat mereka di belakang.

Tren membelah kotaraya Kuala Lumpur dengan bergaya. Aku membelek-belek senarai perjalanan di dalam aplikasi GRAB sambil memberikan 5 bintang kepada para pemandu yang aku guna sejak dari pagi tadi untuk ke beberapa lokasi. GRAB dan UBER betul-betul memudahkan hidup aku. Tak perlu memandu, pening cari parking dan kadang-kadang kalau aku tak layan pemandangan, aku akan buat kerja di tempat duduk belakang. 

Tren bergerak dengan tenang. Aku melayan perasaan. Lenguh-lenguh di badan masih belum hilang. Mata sudah tak berapa nak cerah. Ini semua kesan dari perjalanan tanpa henti dari Kedah ke Johor Bahru, dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan dari Kuala Lumpur ke Kedah semula. Hampir setiap minggu ulang benda yang sama. Kereta, bas, tren, kapal terbang dan feri habis aku bedal dalam perjalanan. Berjumpa dengan pelanggan dari pelbagai jenis latar belakang membuatkan aku banyak belajar. Belajar dari pengalaman bertemu mereka, dan belajar dari pengalaman yang diceritakan oleh mereka.

Ada pelanggan aku yang mengajar aku cara-cara untuk uruskan perniagaan. Ada juga yang mengajar aku cara-cara untuk menambat hati pelanggan. Ada Melayu, Cina, India, Mat dan Minah Saleh. Paling rare, pelanggan dari Greece. Kembang kuncup telinga aku nak faham apa dia cakap. Ramai orang baik-baik yang aku kenal. Aku gembira. Tapi, kalau sehari ada 2 meeting di Johor Bahru, dan 3 lagi meeting keesokannya di Kuala Lumpur, boleh mengundang padah kepada badan sendiri. Ketika banyak berjalan, aku rasakan seolah-olah betis aku sudah hilang. Macam tak wujud dah sebab lenguh sangat. 

Jangan-jangan, betis aku nak letak jawatan sebagai betis rasanya. Risau mak. 

Kini, sudah 2 tahun 3 bulan aku memulakan perniagaan sendiri setelah 9 tahun bekerja dengan pelbagai jenis syarikat. Dari bekerja di syarikat yang cuma ada 4-5 orang pekerja, sampailah kepada syarikat antarabangsa, macam-macam perangai orang sudah aku jumpa. Jadi, bila berniaga sendiri ni, ia betul-betul mengajar aku erti pengurusan hidup. Dari mengurus projek, kewangan, hubungan dengan keluarga sampailah kepada pengurusan emosi. 

"Steseeen Segambut". Tiba-tiba kedengaran pengumuman manja dari pemandu tren. Tren berhenti. Aku bingkas bangun dengan bergaya menuju ke luar tren. 

Bila sampai di luar tren, otak aku mula buat hal. Tiba-tiba, aku teringat Jaket Kesayangan yang aku bawa tadi. Ia tiada di tangan aku. Aku rasa macam tertinggal di atas kerusi di dalam tren. Ini tak boleh jadi, jaket kesayangan tu aku dah pakai sejak 2010. Sayang bukan main. 

Dengan kelajuan pergerakan lelaki berumur 30-an, aku menerpa masuk semula ke dalam tren. Pintu tren terus tertutup sejurus selepas aku berjaya masuk ke dalam tren. Nyaris-nyaris tak sempat masuk. Kalau dalam cerita aksi, mesti kamera sudah close up ke dahi aku yang dipenuhi dengan manik-manik peluh kecil.

Mata aku meliar memandang ke arah kerusi yang aku duduk sebentar tadi. Tiada jaket kesayangan aku di situ. Tiba-tiba, otak sengal aku mula memainkan semula rakaman aksi manja aku melipat kemas jaket dan memasukkannya ke dalam beg galas yang sedang digalas. 

Ya, jaket kesayangan aku berada di dalam beg. Di dalam beg. Di dalam begggggggg.

Tren mula bergerak perlahan-lahan menuju ke stesen seterusnya, stesen Kepong.






Nokharom. Petang tu aku terlewat 40 minit. 


2 comments:

Anonymous said...

terima kasih kerana tulisan saudara berjaya menghiburkan saya....

StingRay said...

anon: Sama-sama. Terima kasih juga sudi datang singgah. =}