Monday, October 27, 2025

PS19

Cuaca pada hari tersebut sangat tenang. Langit terang benderang. Tiada sebarang awan. Panas betul. Bila cuaca panas macam ni, akal aku memang panjang sikit. Masa zaman budak-budak dulu,cuaca macam ni la sedap nak merayau dalam hutan, kayuh basikal laju-laju, merayau dalam kawasan sekolah dan aktiviti paling agung sekali adalah mandi sungai.

Aku hanya mampu tersenyum mengenangkan kembali kenangan berenang di dalam sungai. 

Aku masuk ke dalam rumah, buka peti ais, nampak ada buah anggur. Buah anggur yang tak sempat dimakan sebab beli banyak sangat. Ada anggur yang besar. Ada anggur yg kecil-kecil comel saiznya. Akal aku mula bercabang. Aku pegi ke rak kabinet, selongkar cari loyang buat kek

Setelah jumpa, aku tersenyum sendiri. 

Aku buka semula peti ais, ambil anggur tadi, basuh bersih-bersih. Dah bersih, aku keringkan dan letak dalam loyang tadi. Aku ambil penutup berupa seperti tudung saji berjaring dan tutup atas loyang tadi. Setelah tutup dengan kemas, aku ke luar rumah dan jemur di luar pagar. Bagi kena cahaya matahari. Ya, aku bercadang nak buat kismis sendiri. 

Sambil tengok anggur aku dijemur, aku memandang ke arah PS yang diletakkan di luar pagar. Di dalam pagar rumah, dah ada si Panda dan Optimus Prime. Nanti aku ceritakan pasal si Panda dan Optimus Prime. PS dan si Panda akan bergilir parking di luar pagar rumah. 


Melihat aku memandangnya dengan tajam, PS jadi tak senang. 16 tahun bersama, PS cukup mengenali hati budi aku. Dia tahu, mesti aku ada benda yang nak dibuat dengannya. Aku tersenyum seorang sambil memandang PS. Idea baru datang menjelma.


"Jamil,,,JANGAN! JANGAN JAMIL!" marah PS dekat aku. 
"Please Jamil...don't do this to me!" PS mula membebel dalam bahasa Michael Jackson. 
"Benci!" bentak PS selepas aku selesai. 


Setelah beberapa hari di bawah panas terik, kismis aku akhirnya siap. Menggunakan PS, aku tak perlu risau habuk kotoran melekat, tak perlu risau tahi burung, tak perlu risau semut datang hurung dan pelbagai ancaman lain seperti anjing datang menjilat. 



Dalam PS dah bau kismis. Wangi. =)

Okay, lepas ni nak jemur buah lain pulak. 



Thursday, September 25, 2025

Kedai Gunting Rambut

Aku tiba di kedai gunting rambut. Tiada orang. Aku suka, sebab aku tak suka serabut-serabut. 


Elok aku masuk, tukang gunting rambut terus pelawa aku duduk di atas kerusi. Kalau dia pelawa duduk di atas pelamin yang siap ada pengantin perempuan, aku akan tolak dengan baik sebab aku cuma datang nak gunting rambut sahaja.  


Aku duduk dengan tenang. Tukang gunting rambut tadi buat persiapan. Dia tanya nak potong macam mana. Aku tunjuk gambar model di dalam poster di dalam kedai. Aku nak gaya rambut seperti beliau. Nipis tepi dan kemas. Tak boleh terlalu nipis, nanti kepala jadi macam buah nenas. Portion kena tepat ikut bentuk muka aku yang KANIUS (Kacak + Genius).


Kedai gunting rambut ni memang bagus. Kalau aku gunting rambut, dia memang akan buat dengan kemas. Boleh kata agak kerap aku datang ke kedai gunting ni. Walaupun tukang gunting rambut dia bertukar-tukar, tapi style gunting tetap sama. Macam dah ada S.O.P tertentu. Aku suka. Cuma dia tak ada servis urut-urut kepala selepas gunting. Kalau ada, memang sempurna lah. 

Tukang gunting rambut terus gunting rambut aku. Aku agak kagum, tak sampai 2 minit dah nampak kemas. 

"Pro betul. Baru sekejap dah nampak kemas." Puji aku kepada tukang gunting rambut. Tukang gunting rambut kelihatan terkemut-kemut menahan senyum dipuji. Hidung kembang kempis.

Setelah selesai gunting rambut, kepala aku diurut, diuli, dibelai dengan penuh enak. Hampir terlelap dibuatnya. 




Ada S.O.P baru rasanya. 

Wednesday, September 24, 2025

Rambut

"Roti canai pakcik ni dah siap ke belum?" - soal tokey kedai roti canai kepada anaknya sambil tunjuk ke arah aku. 

"Semua RM17 pakcik" - brader jual ayam goreng sambil serahkan ayam goreng kepada aku.


Tak boleh jadi ni. 


Dengan tenang, aku menuju ke arah kedai gunting rambut. Rambut digunting kemas. Selesai gunting rambut, aku balik mandi wangi-wangi. 


"Ye dik, nak apa?" - adik kaunter di kedai makan. 


Okay, aku dah kembali ke rupa bentuk asal yg muda, bergetah dan......melekit. 

Wednesday, January 1, 2025

1.1.2025

Assalamualaikum. 


WOW! Dah 2025. Semoga anda semua sihat dan ceria-ceria selalu. =)