Tuesday, November 1, 2022

AA - Aiman dan Atok

Cengkerik galak berbunyi di luar. Suasana di kampung sejuk betul. Aiman menutup TV di ruang tamu dan berlari anak ke bilik atoknya. Setiap hujung minggu, boleh dikatakan Aiman akan tidur rumah atok dan neneknya. 

Sebagai seorang budak yang berumur 9 tahun, dimanjakan atok dan nenek adalah ibarat syurga dunia. Jika ke kedai bersama atok, Aiman bebas untuk pilih apa sahaja cikedis yang dihajati. Atoknya tidak lokek berbelanja. 

Aiman melompat ke atas katil dengan manja. Neneknya sudah lama terlena. Atoknya baru hendak merebahkan badan. Tidur bersama atok dan nenek sudah menjadi kelaziman Aiman. Nak tidur seorang diri, Aiman tidak berani. Sepupu Aiman pernah bercerita, dia ternampak Power Rangers bertempur dengan hantu pontianak di belakang rumah atok Aiman. Walaupun Aiman tidak berapa nak percaya sangat, tapi dia takut juga kalau-kalau cerita tu betul. 

Jalan paling selamat, mestilah tidur bersama atok dan nenek.  

"Man, ambilkan stokin atok dalam laci solek tu. Sejuk pula malam ni." ujar Atok kepada Aiman. 

Selaku cucu paling handal, Aiman melompat dan terus mendapatkan stokin di dalam laci. Laci tersebut kosong, yang ada hanya sehelai stokin dan beberapa duit syiling sahaja. Aiman ambil stokin tersebut. Putih dan bersih stokinnya. Aiman menyeluk tangan ke dalam stokin sambil membuat aksi patung bercakap kepada atoknya. 

"Ish, dia main pulak stokin tu. Bagi dekat atok, tu stokin bekas atok guna tu." bebel atok kepada Aiman. 
"Wanginya stokin ni atok." ujar Aiman selepas menghidu sambil memberikan stokin kepada atoknya. 
"Dah, tidur, esok kena bangun subuh awal." bebel Atok kepada Aiman. Aiman masuk ke dalam selimut. 

Semasa di dalam selimut, kepala Aiman tidak berhenti berfikir. Ada satu benda yang tak kena pada fikirannya. Setelah dicongak sana sini, Aiman pun menyoal atoknya. 

"Atok, kenapa ada satu je stokin. Kaki atok sejuk sebelah je ke?" soal Aiman kepada atoknya yang baru selesai mengenakan stokin sambil berselimut. Sejuk betul nampaknya. 
"Oh, bukan kaki atok yang sejuk Man. Telur atok yang sejuk..." balas atoknya sambil tarik selimut dan terus pejam mata. 








Aiman trauma.