Friday, June 22, 2018

Jamil dan Kenangan Hari Raya Aidilfitri 2018

Rambut sudah mula kembang. Lusa dah nak raya. Setelah memikirkan kadar rintangan angin yang tinggi yang akan dihasilkan oleh rambut aku ketika nak rukuk semasa solat sunat Aidilfitri nanti, aku memutuskan untuk memotong rambut aku.

Satu tindakan yang bijak dan berwawasan.

Aku bingkas bangun, ambil kunci kereta, melompat di celah-celah gril pintu dan tangkas melayang masuk ke dalam kereta. Kereta dihidupkan dan kurang dari 5 minit, kedai gunting rambut sudah berada di hadapan aku. Ya, kedai mamak idaman. Kedai ni dia potong kemas. Aku dah potong rambut di kedai ni dua kali dah. Memang puas hati.

Aku buka pintu kedai dan duduk menunggu giliran. Belum sempat panas punggung, giliran aku tiba. Setelah aku menerangkan gaya rambut yang aku nak, tukang gunting rambut tadi terus memotong rambut aku dengan tekun walaupun dia tak boleh berbahasa melayu. Baru sampai dari India barangkali. Tukang gunting rambut yang selalu gunting rambut aku, tak nampak pulak haritu. 

Rambut selesai dipotong. Kemas dan nampak segak. Aku gembira tanpa menyedari kejadian yang bakal aku hadapi di dalam perenggan di bawah. 

Tukang gunting rambut tadi, ambil berus cukur janggut dan nak sapu ke muka aku. Aku terkejut. Aku tolak dengan baik. Aku cuma nak gunting rambut sahaja. Tak nak lebih-lebih. Dia akur dan meletakkan kembali berus tadi. Aku lega.

Tidak berhenti di situ, dia ambil pulak minyak warna merah dalam botol, terus tuang atas rambut dan sambung picit-picit kepala aku. Aku biarkan sebab aku rasa, ini penamat selepas gunting rambut. Kepala aku diurut-urut, diramas-ramas dengan rakus. Setelah 2 minit, kerusi aku direbahkan. Okay, aku rasa cuak. Mapley tadi tiba-tiba hilang.

"PEKKKK!!!" kedua-kedua tangan mapley tadi terus melumur muka aku dengan bahan apajadah aku pun tak tahu. Aku cemas. Laju betul. Baru aku nak bangun, mapley tadi dah ada di sebelah aku, di tangan kirinya ada mangkuk, tangan kanannya ada berus. Belum sempat aku tanya, dia dah berus muka aku dengan cecair dalam manguk tadi. Okay, aku dah terjebak. Selesai dia berus muka aku, aku disuruhnya pergi ke kerusi khas untuk mencuci muka. Dalam hati dah menyumpah, tapi sebab tengah puasa, aku sabar je lah. Benda dah terjebak. Aku berjalan ke kerusi sebelah untuk cuci muka. Sambil berjalan, aku tengok muka aku di cermin. Muka aku warna kuning. Dia lumur kunyit ke apa? 

Aku baring di atas kerusi untuk cuci muka. Muka aku dibiarkan. Rambut aku pula dibasuh, digosok-gosok, dicakar-cakar. Ngeri.

Setelah selesai cuci rambut, baru muka aku dicuci. Bila kedua-dua tangan mapley tadi mencuci muka aku, aku tahan nafas lama-lama. Tak sanggup nak hidu bau tangan beliau. Trauma kejadian hampir 10 tahun lepas masih belum hilang. Setelah beberapa minit muka aku dinodai, aku diarahkan kembali ke kerusi gunting rambut tadi. Di sana, muka dan rambut aku dikeringkan. Rambut diletakkan pelembap dan disikat rapi. Mapley tadi tersenyum puas. 

Lepas bayar, aku bergegas pulang sebab tak tahan dengan bau pencuci yang digunakan mapley tadi. Sampai di rumah, terus ambil tuala, masuk dalam bilik air. Punya la kalut, aku ambil syampu, terus sapu di muka. Tersedar, silap. Aku ambil pula sabun mandian nak cuci muka, tapi aku tersilap pegi letak di rambut pulak. 

Huru-hara. 










Bunyi mercun berdentam-dentum. Kanak-kanak bergelak ketawa riang di luar rumah. Setan-setan pun terbang laju-laju setelah bebas dari ikatan di bulan Ramadhan. Esoknya dah nak raya. Dah lebih 24 jam kejadian di kedai gunting rambut tadi berlaku. Aku duduk di bucu rumah, tenang memandang ke arah TV di hadapan aku. Mata pandang ke TV, hati jauh terbang entah ke mana. 

Esoknya dah nak Raya Aidilfitri. 
Kepala aku masih berbau Deepavali.



Harreyy Zadeyyyy

0 comments: