Friday, June 1, 2018

Pengalaman Pertama Jamil Mencuba Scuba Diving

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dari arah laut. Okay, aku tipu. Angin tiup kuat betul dari arah laut pada pagi tersebut. Ramai juga orang datang bercuti. Bali memang banyak tempat menarik. Jadi, tak hairan la ramai yang datang.

Aku berdiri di bawah khemah di tepi pantai sambil menunggu arahan seterusnya. Bila dah pekena wet suit ni, rasa tak selesa pun ada. Ye lah, baju jenis melekat kat badan ni, bukan selalu aku pakai. Sambil-sambil menunggu giliran, mata aku melihat-lihat ke arah pantai yang cantik dan tenang. 

Jamil, tolong ceritakan perkara yang sebenar.

Okay. Sebenarnya, mata lebih kepada melihat secara curi-curi ke arah awek-awek jepun berpakaian wet suit yang baru turun dari bot dan berlari-lari manja menuju ke arah pancuran air tawar terbuka untuk mandi. 

Akhirnya giliran kumpulan aku tiba. Kumpulan aku di arahkan untuk menaiki bot yang tersedia menunggu. Bot yang dinaiki membawa kami ke tapak selaman yang berada lebih kurang 1KM dari pantai. Bot akhirnya berhenti dan kami diberi taklimat ringkas cara untuk Scuba Diving.

"Jangan risau, bapak-bapak tidak akan mati hari ini". Jerit tukang pengajar kepada kami di dalam bot. 

Seorang demi seorang mula memakai peralatan untuk menyelam. Ada yang muka cuak, ada yang tenang, ada yang tersenyum dan ada yang sedang menulis surat wasiat di bucu bot. Di tepi bot kami, kelihatan ikan datang berenang-renang manja sambil membisikkan kata-kata semangat kepada kami seperti..

"Mati la nanti, ada jerung besar kat bawah. Habis la...habis laaa.."

Aku abaikan usikan ikan-ikan tadi dan terus memakai peralatan selaman. Aku duduk di tepi bot dengan penuh ketenangan, dan terus terjun ke dalam air setelah mendapat arahan dari tukang pengajar.

"Turun! Turun! Turun!" jerit tenaga pengajar kepada aku. Beliau mengarahkan aku untuk menyelam. Tanpa membuang masa, aku terus menyelam sepantas memerang.

Selama ini, kalau aku menyelam, aku tahan nafas. Kali ini, aku kena bernafas di dalam air. Nampaknya, badan aku tidak dapat menerima keadaan tersebut. Perasaan dia, kalau aku sedut udara, air akan masuk ke dalam mulut dan aku akan lemas. Nafas yang aku sedut, cuma sampai di dalam mulut sahaja dan tidak terus ke paru-paru. Aku panik. Boleh nampak dengan jelas banyak buih-buih udara di sekeliling aku. Aku ambil keputusan untuk naik semula ke permukaan. Kalau naik ke atas bot, duit yang dibayar dikira hangus lah. Memang rugi kalau naik atas bot terus.

Elok aku sampai ke permukaan laut, tenaga pengajar tadi nampak aku. Dia jerit suruh aku selam semula. Okay, ini kes naya. Aku baru nak tenang, dah kena selam semula. Kalau tak, aku akan disuruh naik ke atas bot, dan aku tak boleh menyelam semula. Rugi besar.

Aku nekad. Aku selam semula ke dalam air, turun sampai ke dasar dan pegang pada pemegang besi di dasar laut. Aku cuba bertenang, fokus dan sedut dalam-dalam udara dari hos dalam mulut aku. Aku sedut sampai penuh kedua-dua belah paru-paru aku. Paru-paru yang ke-3, aku simpan untuk masa kecemasan. Cemas ketika melihat gadis cantik misalnya. 

Setelah berjaya menarik nafas dalam-dalam tadi, serta-merta aku rasa tenang. Pandangan aku jadi jelas, suasana teramat tenang, rasa nyaman dan selesa. Di sekeliling aku, tiada lagi buih-buih udara yang banyak seperti tadi. Aku dapat bernafas dengan sangat tenang dan lancar. Jadi, itu rahsianya, kena bernafas dalam-dalam. 

Aku pandang ke arah kiri aku, ada seekor ikan duyung betina jelita menunjukkan isyarat bagus kepada aku. Aku menunjukkan isyarat bagus kepadanya semula tanda terima kasih. Ikan duyung tadi pakai La Senza. Aku tersenyum.

Aku bergerak dengan tenang di dalam air sambil memberikan makan kepada ikan. Ada macam-macam ikan yang berkeliaran. Paling unik, ikan Nemo. Seronok betul dia bermain-main di celah-celah batu karang lembut di dalam air. Di sebelah ikan Nemo, kelihatan ikan perkasam sedang berenang-berenang gembira. Aku nampak, ada hirisan bawang dan cili padi di badan ikan perkasam tersebut.

Setelah lebih kurang 10-15 minit merayau-rayau di dalam air, membuat pelbagai aksi dan gaya, kami diberikan isyarat untuk naik semula ke permukaan. Seorang demi seorang mula naik ke permukaan. Macam nak balik ke kayangan dah lagaknya.

Kini aku mula faham, kenapa ada orang yang hidupnya kerja nak menyelam hari-hari. Memang keadaannya tenang, segar dan membuatkan kita leka melihat gelagat ikan-ikan yang berkeliaran. Tiba giliran aku untuk naik ke permukaan. Dengan campuran gaya ikan lumba-lumba dan memerang sungai, aku tangkas menuju ke permukaan. 

Aku puas. Aku gembira. Kalau ada peluang, memang aku akan cuba lagi. Ingat senang nak dapat peluang mencuba Scuba Diving tanpa lesen? 



Ada buih

Takda buih





0 comments: